Dr Adham sangkal laporan Al Jazeera

- Advertisement -

KOTA TINGGI: Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba menyangkal laporan berita Al Jazeera yang mendakwa kerajaan Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin (PATI) ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan melaksanakan PKP di bawah Akta 342 untuk menangani wabak pandemik Covid-19 dan saringan yang dijalankan adalah antara tindakan bagi mengawal penularan jangkitan wabak itu.

- Advertisement -

“Laporan berita Al Jazeera yang menuduh konon tindakan kerajaan melaksanakan PKP sebagai rasis itu, tidak betul. Menyelamatkan warganegara atau bukan warganegara adalah satu daripada tindakan mengikut Akta 342 iaitu menangani wabak Covid-19.

“Apa yang dibuat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ialah memastikan mereka yang dikesan positif Covid-19, diasingkan untuk rawatan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan pelitup mulut dan sabun antiseptik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, di sini, semalam.

Terdahulu, Al Jazeera dalam satu laporan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ mendakwa berlaku isu diskriminasi oleh kerajaan Malaysia dalam mengendalikan Covid-19.

Ketika ditanya sama ada akan diambil tindakan terhadap agensi berita itu, Dr Adham berkata, kerajaan akan memperbetulkan persepsi berkenaan melalui jurucakap Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.- HARAKAHDAILY 6/7/2020

- Advertisement -