Air: Berita baik buat rakyat Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasrat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menaik taraf infrastruktur perkhidmatan bekalan air merupakan satu berita baik buat rakyat Kelantan.

- Advertisement -

Berdasarkan lawatan Menteri KASA, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, antara yang bakal dinaiktarafkan ialah loji rawatan air, penggantian paip air bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil (NRW) serta projek untuk meningkatkan liputan perkhidmatan pembentungan.

Menurut Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, rakyat di Kelantan akhirnya tidak lagi dianaktirikan di bawah dasar prihatin dan keterbukaan Kerajaan Perikatan Nasional.

Fasa menaik taraf perkhidmatan bekalan air dilakukan secara berperingkat, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang, ujar Shahir yang juga merupakan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Ulas beliau, langkah-langkah yang diambil ini bersifat secara keseluruhan disamping menyelesaikan isu pengurusan dan infrastruktur air untuk menampung keperluan bekalan air di Kelantan untuk tempoh masa 30 hingga 40 tahun akan datang.

Justeru itu, beliau berharap agar kenyataan Tuan Ibrahim tidak diputar-belitkan oleh pihak pembangkang.

Jelasnya, kenyataan sebenar Tuan Ibrahim merujuk kepada dasar pandang ke hadapan oleh pihak KASA, di saat keperluan air di Kelantan bakal meningkat naik pada tahun 2050 atau 2060.

“Ini bermakna isu air di Kelantan bukan sahaja bakal diselesaikan dalam tempoh jangka pendek, malah optimis akan menyelesaikan isu bekalan air pada masa hadapan,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa rakyat akan menerima manfaat hasil daripada projek tebatan banjir fasa 1 yang dijangka siap Oktober ini.- HARAKAHDAILY 6/7/2020

- Advertisement -