PRU15: Tiada pertembungan tiga penjuru dalam PN

PRK DUN N.23 Chini gambaran kerjasama PN pada PRU15

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yakin tiada pertembungan tiga penjuru dalam mana-mana kerusi Parlimen ataupun DUN membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

- Advertisement -

Beliau berkata, ia hasil keputusan awal yang menunjukkan keputusan positif ketika perkara tersebut dibincangkan di peringkat Majlis Presiden dan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional, yang diadakan sebelum ini.

“Antara keputusan awal yang dicapai termasuklah Umno dan PAS setuju agar Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU15. Perkara ini masih gagal di peringkat Pakatan Harapan (menamakan calon Perdana Menteri).

“Yang kedua kita setuju untuk satu lawan satu dan saya yakin kedua-dua badan itu akan dapat menyelesaikan perkara ini, sebaik mungkin,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian kepada pemberita, selepas pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
 
Mengulas mengenai kemenangan besar PN pada PRK DUN Chini semalam, Tuan Ibrahim berkata, beliau gembira dengan petugas-petugas daripada PN yang sentiasa berdedikasi, dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Petugas PAS bekerja macam wakil PAS yang bertanding. Yang hebat adalah bekas calon PAS (Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim) yang bertanding, namun kalah pada PRU14 lepas, mengetuai kempen untuk memenangkan calon BN.

“Ini merupakan gambaran awal untuk kita sama-sama bekerja pada PRU15 nanti,” katanya.

Semalam, PRK DUN Chini menyaksikan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh undi 13,872.

Pencabarnya iaitu dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat 137 undi, menyebabkan kedua-duanya hilang deposit. – BERNAMA

- Advertisement -