Nasib nelayan: Ketelusan Dr Afif, PBN diragui

- Advertisement -

LAGAK menakjubkan Dr Afif konon untuk membela nelayan dalam kenyataan media beliau pada 3 Julai 2020 mendapat respons hangat daripada masyarakat Pulau Pinang yang mengikuti isu PSR.

Kenyataan beliau telah mengundang respons balas YB Norlela melalui kenyataan medianya 4 Julai 2020 yang kini bertanggungjawab mengurus portfolio kerajaan negeri berkaitan aktiviti perikanan dan luar bandar.

Pertembungan kenyataan antara bekas Exco dan Exco yang baru ini mendedahkan 3 perkara penting yang menampakkan kelemahan ketara Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Pulau Pinang untuk membela nelayan yang bakal dipermangsakan demi cita-cita karut bagi melaksanakan PSR;

- Advertisement -

(1) Wujudnya Pelan Pengurusan Impak Sosial yang dirahsiakan oleh PBN daripada khalayak umum untuk dinilai secara telus. Ringkas cerita ‘no transparency’ daripada PBN.

(2) Jawatankuasa Taskforce Nelayan tidak aktif selepas beliau dilucutkan jawatan Exco. Justeru mendedahkan bahawa Ketua Menteri tidak meletakkan kepercayaan kepada YB Norlela Exco Pertanian dan Luar Bandar yang baru selaku pengerusi Taskforce Nelayan untuk PSR.

(3) Komponen penilaian impak sosial tidak dipertimbang dalam perjanjian yang termeterai pada 1 Julai kelmarin.

Memahami latar-latar isu perjuangan nelayan menentang PSR selama ini, terdapat 2 perkara penting yang mendedahkan sejauhmana tulusnya hati beliau dalam membela nelayan;

(1) Arahan Dr Afif dulu kepada SRS supaya memberi Pakej ex-gratia adalah suatu tanda pengkhianatan terhadap hasrat hati majoriti nelayan yang jelas membantah PSR.

Arahan itu adalah suatu cubaan untuk mengumpan nelayan dengan bayaran tertentu. Saya cabar beliau dedahkan bayaran ex-gratia seperti yang pernah beliau arahkan.

Biar masyarakat Pulau Pinang faham apakah maksud bantuan setimpal yang sangat dirahsiakan Pihak Berkuasa Negeri selama ini.

(2) Pecah tembelang tak dapat disorok lagi apabila YB Norlela mendedahkan bahawa unit-unit nelayan dan persatuan nelayan tidak dilibatkan bagi menganggotai AJK Taskforce Nelayan ketika YB Dr Afif sendiri menjadi Pengerusi Taskforce Nelayan. Ini adalah pengkhianatan yang nyata telah dibuat beliau.

Kenapa sekarang berkokok soal mahu membela nelayan? Saya melihat Dr Afif tak layak pun menasihati Pihak Berkuasa Negeri berkaitan pembelaan nelayan.

Sedangkan beliaulah yang bersekongkol dengan PBN selama ini membuli nelayan hanya semata-mata mimpi indah bersama sebelum ini. Kata dulang paku serpih, mengata orang dia pun lebih.

Nelayan takkan pernah mudah lupa dosa-dosa Dr Afif selama ini. Jalan taubat dan muhasabah masih terbuka untuk beliau cermin diri sebelum keluarkan kenyataan. Lagak hero tapi 2×5, 5×2 sahaja dengan PBN!

Berilah peluang kepada YB Exco yang baru Dr Norlela lakukan sesuatu terbaik untuk nelayan mengubat kembali luka-luka yang dibuat Dr Afif dengan restu Pihak Berkuasa Negeri selama ini.

Saya teringat kata perumpamaan lawak tersohor ‘when elephant fight the grass will suffer’. Sudahlah Dr Afif, jangan lagi berlakon untuk membela nelayan.

Nelayan tak nampak ketulusan kamu, sebagaimana dah lama hilang kepercayaan pada komitmen ketelusan PBN yang hanyalah sekadar omong-omong kosong.

Jatuhnya Dr Afif di persada politik negeri barangkali kerana makbulnya ‘doa seorang nelayan’.

ZIKRULLAH ISMAIL
Gerakan Penang Tolak Tambak!
Minden, Pulau Pinang
5 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 5/7/2020

- Advertisement -