Formula MN-PN jadi mimpi ngeri PH

Rakyat semakin celik membaca politik tanah air

- Advertisement -

WALAUPUN analisa awal para pemerhati politik sudah menjangkakan calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain akan menang mudah pada Pilihan Raya Kecil kali ini, namun sebenarnya ia merupakan medan getir buat blok Muafakat Nasional-Perikatan Nasional yang baru membentuk kerajaan pada 1 Mac yang lalu.

- Advertisement -

Calon BN memperoleh majoriti terbesar dalam sejarah DUN Chini iaitu majoriti sebanyak 12,650 undi pada PRK kali ini apabila menewaskan dua calon Bebas yang mana seorang calon merupakan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU dan seorang lagi merupakan bekas calon PAS yang sudah beberapa kali berpengalaman memasuki medan pilihan raya.

Walaupun, pandemik COVID-19 masih melanda seluruh negara, namun sistem demokrasi terus berjalan dengan adanya Pilihan Raya Kecil kali ini. Blok kerajaan Perikatan Nasional yang terdiri dari Muafakat Nasional (Umno-PAS) dan BERSATU menghantar wakil BN dalam PRK ini tanpa dicabar oleh blok pembangkang Pakatan Harapan (PH). Namun, dua orang calon Bebas menyaksikan calon BN tidak memperoleh kemenangan mudah.

Dengan kemenangan blok Kerajaan PN pada PRK kali ini telah membuktikan bahawa formula MN-PN amat ampuh meraih sokongan rakyat. Formula ini dilihat pasti menjadi mimpi ngeri blok pembangkang PH jika PRU15 bakal diadakan dalam masa terdekat.

Senario di PRK Chini melihatkan rakyat marhein walaupun di desa semakin celik membaca politik tanah air seiring kemajuan teknologi sedia ada telah memungkinkan mereka mendapat informasi sebenar dihujung jari. Mereka tidak lagi termakan dengan dakyah pembangkang yang hanya pandai menabur fitnah dan menanam tebu dibibir sahaja.

Rakyat sedar akan formula MN-PN ini bakal menguatkan penyatuan ummah serta berjaya mewujudkan negara yang lebih sejahtera. Ini terbukti apabila kejayaan 100 hari Kerajaan PN jauh lebih baik daripada Kerajaan PH 22 bulan terutama apabila negara berdepan dengan pandemic COVID-19. Rakyat semakin yakin dengan kepimpinan kerajaan sedia ada dalam menerajui negara.

Kehadiran calon Bebas sememangnya tidak memberi impak kepada formula ini walaupun mereka seolah-olah mewajahkan parti mereka sebelum ini dengan menunjukkan mereka hilang wang taruhan dalam PRK kali ini kerana gagal mendapat 1/8 undi.

Kematangan rakyat dalam menilai dan memilih sukar dinafikan. Para ahli dan penyokong MN-PN pastinya menurut arahan pucuk kepimpinan 100 peratus dengan memangkah calon BN walaupun pada PRU14, calon PAS turut bertanding menentang calon BN. Namun, atas semangat muafakat dan penyatuan ummah yang dimeterai, seluruh ahli dan penyokong memberi kepercayaan tidak belah bahagi kepada calon BN ini.

Selain itu, sokongan anak muda juga dilihat semakin meningkat apabila blok kerajaan meletak calon muda dalam dua siri PRK mutakhir ini. Anak muda sememangnya mahu melihat kepimpinan negara disambung legasinya menerusi calon-calon yang lebih muda dan segar supaya mereka lebih terkehadapan membawa aspirasi anak muda sama ada dalam Dewan Undangan Negeri mahupun Dewan Rakyat.

Hal ini dibuktikan apabila peratusan keluar mengundi tinggi iaitu 74 peratus dari jumlah pengundi berdaftar. Perbezaan hanya 5 peratus pada PRU14 yang lepas walaupun PRK kali ini dalam keadaan PKPP, namun pengundi muda yang tinggal di luar desa sanggup pulang ke desa untuk menunaikan kewajipan mereka membuang undi. Ia signal jelas kepada kemahuan pengundi muda mahu melihat kawasan mereka diwakili suara anak muda.

Kemenangan calon muda ini juga menjadi kayu ukur bahawa blok kerajaan tidak ketandusan calon dalam kalangan kepimpinan muda untuk diketengahkan sebagai pelapis negara, dan kepimpinan tertinggi parti berjiwa besar meletak anak muda sebagai calon menggantikan kepimpinan lama tanpa lagi melihat kerusi DUN/Parlimen sebagai kerusi empuk untuk dinikmati sehingga berpuluh tahun lamanya. Ianya amanah rakyat untuk digalas bukan dikhianati lagi.

Formula ini wajar diteruskan dalam mendepani PRU15 akan datang yang kuat kencang khabar anginnya akan berlangsung tidak lama lagi. Sudah pasti, blok pembangkang tidak lagi lena tidur selepas ini.

UBAID HJ AKLA – HARAKAHDAILY 5/7/2020

- Advertisement -