Peruntukan RM42 juta bantu nelayan – Che Abdullah

- Advertisement -

TUMPAT: Kerajaan membelanjakan lebih RM42 juta bagi pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan pada lima bulan pertama tahun ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, elaun bulanan sebanyak RM250 itu disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Di Kelantan sehingga Mei lalu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM1.2 juta bagi bantuan Elaun Sara Hidup kepada nelayan yang layak menerima bantuan itu bagi meringankan bebanan golongan terbabit berdepan cabaran ekonomi ketika.

“Pihak kerajaan melalui LKIM melaksanakan pelbagai bantuan kepada nelayan seperti Bantuan Sara Hidup Nelayan, Bantuan Subsidi Diesel dan Petrol, Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Perjumpaan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II bersama Ahli Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat di Dewan Terbuka, Kompleks LKIM Geting, di sini, hari ini.
 
Sementara itu, Che Abdullah berkata pihaknya menyasarkan seramai 1,000 peserta akan menerima bantuan peruntukan sebanyak RM10 juta menerusi Program Rezeki Tani yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bermula 2019 hingga 2020.

“Program ini adalah untuk golongan miskin serta isi rumah dengan pendapatan tidak melebihi RM2,614 sebulan dan berdaftar dalam sistem eKasih. Keutamaan diberikan kepada calon berusia 18 sehingga 60 tahun yang sedang menjalankan aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan lain-lain.

“Selain bantuan peralatan menangkap ikan, LKIM turut menyalurkan bantuan kepada peserta Program Rezeki Tani yang menjalankan aktiviti pemprosesan keropok, budu serta perniagaan makanan dan minuman,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -