Kestabilan PN kunci utama kemenangan di Chini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kestabilan dan kesepaduan kerjasama dalam Perikatan Nasional menjadi kunci utama kemenangan dengan majoriti lebih besar pada PRK DUN N.23 Chini yang diumumkan sebentar tadi.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad mengulas demikian setelah keputusan tersebut diumumkan di mana calon BN, Mohd Shahrim Md Zain diumumkan menang dengan majoriti 12,650 undi.

Mohd Shahrim memperolehi 13,872 undi menewaskan dua calon Bebas, Dato’ Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli yang masing-masing memperolehi 1,222 undi dan 137 undi.

Keputusan rasmi telah diumumkan dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Chini, Datuk Zaliza Zulkipli di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, sebentar tadi.

Kamaruzaman merakamkan tahniah kepada Shahrim dan berharap beliau dapat menggalas tugas dengan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk Chini dan Pahang serta negara.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Dato’ Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung di mana beliau merupakan wakil rakyat di situ sejak PRU11.

Pada PRU lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi, manakala calon PH, Mohamad Razali Ithnain sekadar memperoleh 1,065 undi. – HARAKAHDAILY 4/7/2020

- Advertisement -