Indikator sokongan Melayu, PH berdepan jalan sukar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan BN pada PRK DUN N.23 Chini dengan majoriti lebih besar menyerlahkan keberkesanan hubungan Muafakat Nasional bersama BERSATU serta parti lain dalam Perikatan Nasional.

- Advertisement -

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, keputusan tersebut juga dilihat sebagai peralihan rakyat kepada orang muda untuk diberi peluang dalam pentas politik negara.

“Rakyat inginkan lebih ramai pemimpin muda untuk menjadi pemimpin negara. Parti politik juga perlu memberikan lebih banyak ruang kepada orang muda untuk menjadi calon akan datang,” ujarnya yang juga Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Menurut beliau, keputusan tersebut juga menyatakan bahawa kawasan FELDA kekal menjadi kubu kuat BN dan Perikatan Nasional di mana kawasan tersebut turut mewakili sebahagian Parlimen di Semenanjung khususnya.

Secara keseluruhan ulasnya, keputusan ini turut menjadi petunjuk kepada tahap sokongan rakyat terutama masyarakat Melayu yang mewakili 90.4 peratus pengundi di Chini dan gambaran kecenderungan kaum itu masa kini.

“Ini merupakan satu indikator jelas bahawa masyarakat Melayu lebih selesa dengan Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ianya merupakan satu cabaran getir bagi Pakatan Harapan Plus untuk menembusi kawasan majoriti Melayu yang lebih condong kepada PN sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2020

- Advertisement -