Pembukaan sekolah, perlu kerjasama semua pihak

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan yang dijadualkan dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai depan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjalani norma baharu di sekolah.

Timbalan Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pembukaan sektor pendidikan semasa tempoh fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merupakan satu cabaran yang menguji tahap pematuhan disiplin semua pihak.

“Ia memerlukan komitmen yang tinggi bermula dari rumah, di dalam kenderaan seperti van dan bas sekolah, persekitaran sekolah dan hubungan sosial dengan semua pihak.

“Oleh itu, ikutilah norma baharu yang diperkenalkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

- Advertisement -

“Insya-Allah, kita berjaya memutuskan rantaian Covid-19,” katanya kepada HarakahDaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yakin seluruh warga sekolah telah membuat persiapan rapi dan bersedia dengan pembukaan semula persekolahan.

Ujarnya, apa yang penting semua warga pendidikan hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Sebagai contoh, pihak pengurusan sekolah hendaklah memastikan kemudahan dan prasarana sekolah seperti susunan meja di dalam kelas mengikut SOP.

“Memastikan tahap kebersihan sekitar sekolah yang terbaik serta bersedia menjadi tempat rujukan para waris dan guru sekiranya terdapat kemushkilan,” tambahnya lagi.

Beliau berharap para guru memainkan peranan memastikan para pelajar berdisiplin untuk mematuhi SOP berkenaan bagi membendung penularan Covid-19 di sekolah.

“Para ibu bapa juga tidak ketinggalan dengan memastikan tahap kesihatan anak dalam keadaan baik sebelum membenarkan anak-anak mereka ke sekolah.

“Selain sentiasa menasihatkan anak-anak mereka untuk mematuhi peraturan sekolah. Ini kerana para ibu bapalah merupakan kontak yang paling rapat dengan anak-anak dan merekalah yang mengetahui tahap kesihatan anak masing-masing.

“Sementara itu, para pelajar hendaklah memastikan kebersihan diri mereka sendiri terjaga seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka, dan yang mustahak adalah mematuhi peraturan-peraturan baharu sekolah,” ujar Fakhruddin.

Sejak 19 Mac lalu semua sekolah di Malaysia diarahkan ditutup ekoran kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac bagi membendung pandemik Covid-19.

Wabak ini melanda di seluruh dunia telah meragut setengah juta nyawa penduduk dunia dan berjuta lagi disahkan masih dirawat dan dikuarantinkan.

Ekoran itu juga seluruh negara melaksanakan perintah berkurung termasuk menutup pintu sempadan dan membatalkan semua penerbangan bagi mengawal penularan wabak berkenaan.

Kini, Malaysia sedang melalui fasa PKPP (pemulihan) daripada Covid-19 yang membolehkan kerajaan membenarkan pelbagai sektor beroperasi secara berperingkat termasuk pembukaan semula sesi persekolahan mengikut SOP yang diperkenalkan kerajaan.- HARAKAHDAILY 3/7/2020

- Advertisement -