Dihukum denda salah guna Facebook, WhatsApp

facebook
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang pesara dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di laman Facebook peribadinya.

- Advertisement -

Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdullah Sani Ahmad, 57, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan, dan dia boleh dikenakan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Edwin berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya, bahawa tertuduh perlulah lebih sensitif ketika membuat hantaran di laman sosial yang boleh dibaca oleh orang ramai.

Bagaimanapun mengambil kira gaya bahasa kritikan yang bukan berniat jahat dan tidak keterlaluan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000.

Manakala di KAJANG, akibat membuat kenyataan menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi aplikasi WhatsApp, seorang pesara didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Mahadi Ibrahim, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain. 

Berdasarkan pertuduhan pilihan, bapa kepada lima orang anak itu didakwa membuat kenyataan tersebut melalui aplikasi WhatsApp dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 10:48 malam, 4 Jun lepas di Taman Semenyih Indah daerah Hulu Langat.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

- Advertisement -