Undi BN untuk kelangsungan khidmat kepada rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan calon BN, Mohd Shahrim Md Zain pada PRK DUN N.23 Chini adalah penting kepada penduduk demi kelangsungan khidmat sebagaimana pernah didapati sebelum ini.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu berkata, ini kerana calon datang daripada parti yang mempunyai organisasi besar, berstruktur, bersistem dan bergerak di semua peringkat kerana mempunyai akar umbi.

Hal tersebut tegasnya, berbeza daripada calon Bebas yang berseorangan dan menawarkan diri bertanding tanpa mempunyai akar umbi dan dukungan untuk bergerak dan bekerja.

“Apatah lagi jika Bebas nanti dia akan jadi pembangkang di dalam Dewan (DUN). Suaranya tidak akan dapat dilihat ataupun didengar dengan lebih jelas jika dibandingkan dengan pentadbir ataupun pengurusan negeri hari ini,” ujarnya.

Beliau mengupas hal tersebut dalam Wawancara Khas Sempena PRK N.23 Chini yang bersiaran secara langsung di Facebook Umno Online, kelmarin.

Bahkan menurut Andansura yang juga ADUN Beserah, penduduk Chini memerlukan kelangsungan pembangunan sebagaimana telah dirancang ADUN sebelum ini, Allahyarham Dato’ Seri Abu Bakar Harun.

Beliau menasihat para pemilih untuk tidak membuat undian emosi dengan mengambil pengajaran sebagaimana PRU14 lalu di mana pertimbangan silap dilakukan dengan memilih Pakatan Harapan.

Beliau juga menyarahkan panjang lebar mengenai kewajiban mengundi dari perspektif hukum Islam yang bukan semata-mata tanggungjawab, tetapi juga perhitungan dosa dan pahala. – HARAKAHDAILY 2/7/2020

- Advertisement -