Islam terhalang kerana tiada ‘kemahuan politik’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan membenarkan pelaksanaan Islam, namun ia terhalang selama ini kerana tidak adanya ‘kemahuan politik’, kata Penganalisis Politik, Dr Muhammad Fathi Yusof.

- Advertisement -

“Pelaksanaan Islam bukan dihalang oleh Perlembagaan, tapi terhalang kerana tidak ada kemahuan politik. Jika sekiranya ada kemahuan politik, Perlembagaan kita boleh, akan memberi jalan kepada pelaksanaan Islam,” ujarnya.

Dr Fathi yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengupas perkara itu baru-baru ini.

Kupasan bertajuk “Kerajaan Hari Ini: Apa Kata Pakar” pada Wacana Kesatuan 11.0 itu telah bersiaran secara langsung menerusi Facebook Kesatuan Mahasiswa anjuran Kesatuan Mahasiswa UUM.

Beliau memberi contoh pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam terhadap pencuri yang menurut hukumnya mesti dipotong tangan di mana boleh dilakukan dengan meminda Kanun Keseksaan.

Katanya, apabila negeri Kelantan mahu melaksanakan hukuman tersebut telah ada peringkat latihan, simulasi, pandangan pakar, doktor dan lain-lain, cara mengikut kaedah moden dan sebagainya.

“(Jadi) Sebenarnya halangan itu bukan halangan Perlembagaan. Tetapi halangan dari sudut politik. Bila kita kata halangan politik ini dia juga melibatkan halangan-halangan dari sudut kesedaran rakyat kerana rakyat yang memberi sokongan kepada ahli politik.

“Kalau katakan rakyat tak faham, rakyat tak sedar, maka rakyat akan memilih ahli politik yang tidak akan sokong pelaksanaan Islam. Jadi sekarang ini, nak mula di mana? Kita pakat-pakat mulalah termasuk dari sudut aspek pendidikan.

“Kena didik rakyat supaya faham keadilan Islam keindahan Islam. Ini semua perlu melaksanakan tanggungjawablah, kerja dan sebagainya untuk kita bergerak ke arah perubahan yang lebih baik,” seru beliau.

Menyentuh mengenai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355, beliau menyifatkan usaha pindaan tersebut antara kesedaran umat di negara ini terhadap pelaksanaan Islam.

Katanya, walaupun Islam boleh dilaksanakan melalui pelbagai medium seperti pendidikan, budaya, politik dan kepimpinan, tetapi perspektif undang-undang antara yang paling popular.

Menurutnya, pindaan RUU355 boleh mengukuhkan bidang kuasa yang berkaitan, serta elemen hukuman dapat dimasukkan melalui Kanun Keseksaan hingga menepati prinsip Islam. – HARAKAHDAILY 2/7/2020

- Advertisement -