Hina Jata Negara: GAMIS lapor polis

- Advertisement -

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) semalam bersama Kelab Mahasiswa Penyokong PAS (SiswaPAS) dan SMART UPM telah turun membuat laporan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur berkenaan isu muka hadapan buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ terbitan Gerak Budaya yang memaparkan sebuah logo yang diubah suai mirip logo Jata Negara.

Laporan secara besar-besaran ini telah digerakkan bersama dengan kerjasama GAMIS Negeri serta persatuan-persatuan mahasiswa seluruh Malaysia di balai polis terdekat di negeri masing-masing.

Mobilisasi mahasiswa yang digerakkan kurang 24 jam ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak 14 laporan polis terhadap penerbit dan individu yang berkaitan. Bilangan ini akan terus bertambah dari masa ke masa selagi belum ada tindakan tegas terhadap pelaku kesalahan.

- Advertisement -

Tujuan laporan ini dibuat agar penerbit dan penyunting buku ini tidak hanya dilepaskan dengan permohonan maaf sahaja, tetapi juga siasatan lanjut perlu mengikut akta yang telah diperuntukkan. Mereka perlu bertanggungjawab dengan kesilapan mereka yang tidak cakna dengan kedaulatan Jata Negara dan tindakan yang setimpal perlu dikenakan terhadap mereka.

Signal ini merupakan gesaan GAMIS supaya kerajaan bertindak tegas melindungi kedaulatan negara daripada mana-mana individu atau organisasi yang cuba menyentuh sensitiviti negara yang mutakhir ini dilihat semakin berleluasa.

GAMIS mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama mencantas usaha golongan yang tidak bertanggungjawab yang biadab ini dengan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah masing-masing agar perkara seperti ini tidak lagi berulang.

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 2/7/2020

- Advertisement -