4 isu berkaitan penjual produk VS doktor

produk
- Advertisement -

(1) TERDAPAT penjual produk kesihatan mendakwa produk mereka itu boleh dan mampu merawat penyakit kronik. Boleh ke dakwa begitu? Dalam negara kita terdapat beberapa akta yang mengawal supaya tiada dakwaan yang boleh mengelirukan masyarakat. Setiap dakwaan memerlukan bukti dalam perubatan.

Kenapa perlukan bukti? Sebab kita ini manusia yang berfikir dan selari dengan saranan agama supaya menggunakan akal fikiran dalam bab keduniaan. Kita bukannya Nabi atau para wali yang diberikan keistimewaan untuk menyembuhkan penyakit. Al-Quran juga menyebut, jika kita tidak tahu sesuatu, maka bertanyalah kepada ahlinya. Bukan pakai redah percaya kepada penjual produk yang tiada keahlian pun dalam bab merawat penyakit.

- Advertisement -

Negara kita telah pun menggariskan beberapa akta:

(a) Akta Ubat 1956 (iklan dan penjualan).
(b) Cosmetic Advertising Code.
(c) Akta Makanan 1983.
(d) Akta Peranti Perubatan 2012.
(e) Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016.
(f) Akta Penyakit Berjangkit 1988.
(g) Akta Racun dan Dadah 1951.

Dan beberapa lagi akta. Akta-akta ini dibuat bukan menyekat perniagaan orang kita, tetapi demi menjaga kepentingan kesihatan dan keselamatan masyarakat supaya tidak putar belit oleh golongan yang mencari peluang keuntungan perniagaan. Berniaga itu boleh, tetapi jangan membuat dakwaan yang mengelirukan tanpa bawa bukti yang sahih.

(2) Bagaimana pula dengan penjual produk over claim yang kata ilmu Allah itu luas dan doktor tidak mengetahui segala-galanya, maka merawatlah dengan apa yang semula jadi diciptakan oleh Allah. Apa salahnya?

Ya saya setuju dengan frasa ilmu Allah itu luas. Sebab itu permulaan wahyu kepada Rasulullah adalah Iqra. Bermakna manusia wajib menjalankan kajian sesuai dengan zaman. Sekarang ini Evidence Based Medicine (EBM) mengungguli dalam kaedah pembuktian. Inilah salah satu keluasan ilmu Allah yang diberikan kepada manusia yang berfikir. Bukti yang dibawa bagi mengesahkan dakwaan itulah yang dituntut oleh Islam.

Katakan bahan semula jadi, bagaimana nak tahu sama ada sesuai pada semua orang dengan dos sukatan tertentu? Bahkan makanan sekalipun terdapat alergik pada sesetengah orang, apatah lagi ramuan yang dibancuh dengan beberapa campuran lain. Sudah tentu memerlukan safety profile dan berkualiti sebelum diberikan kepada pesakit. Bagaimana nak tahu? Kajianlah yang menentukan!

(3) Dalam negara kita sudah terdapat badan yang berwibawa seperti majlis perubatan, jawatankuasa mufti dan beberapa badan lagi untuk menentusahkan sesuatu perubatan itu boleh dipakai atau tidak. Jika terdapat golongan yang menentang seperti antivaksin, Doula ekstremis apa harus dilakukan?

Buat masa ini negara mempunyai kementerian yang cukup disanjungi ramai – KKM. Malah isu pengurusan COVID-19 oleh KKM cukup disegani oleh semua pihak. Sudah tentu apa sahaja yang dikemukakan oleh KKM itu memberikan kebaikan kepada masyarakat secara umumnya. Cuma terdapat segelintir kecil masyarakat yang tak puas hati. Bahkan mereka ini membuat persepsi sendiri dalam urusan perubatan mereka. Sehingga timbulnya ketidakharmonian. Walaupun negara kita masih lagi perjuangkan kebebasan bersuara, tetapi terdapat suara-suara yang tak betul, memesongkan fikiran rakyat perlu dibendung segera. Fenomena ini tidak boleh lari dalam sesuatu masyarakat.

Justeru buat masa ini penerangan harus diberikan kepada masyarakat melalui kerjasama erat KKM dan ahli agama. Perbanyakkan sesi penerangan, siaran media dan banyak lagi supaya ditonton oleh seluruh rakyat. Andai kata keadaan semakin mendesak, tidak mustahil akta yang sedia ada atau akta baru perlu digubal bagi mengekang fenomena ini.

(4) Bagaimana pula dengan adanya doktor-doktor perubatan moden sendiri yang menggunakan testimoni untuk menjual produk yang merawat penyakit kronik. Boleh ke doktor perubatan moden buat ini?

Setiap profesion ada kod amalan dan etikanya. Doktor, ada code of Professional Conduct, Good Medical Practice dan Akta Perubatan 1971 itu sendiri. Begitu juga dengan profesion lain, farmasi, pergigian, pemakanan dan lain-lain – mempunyai kod etika berdasarkan EBM yang diterima pakai dalam dunia moden masa ini. Jika ada doktor yang menggunakan testimoni dan menjual produk tanpa berpandukan code etika, sudah tentulah ianya bersalahan.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 2/7/2020

- Advertisement -