YouTube Les’ Copaque dianugerah ‘Diamond Creator’

- Advertisement -

SHAH ALAM: Les’ Copaque Poduction telah menerima anugerah ‘Diamond Creator Award’ dari platform gergasi YouTube yang diberikan khas kepada pencipta kandungan di platform tersebut yang berjaya mencecah 10 juta langganan.

- Advertisement -

Saluran YouTube Les’ Copaque Production telah berjaya mencapai rekod tersebut dan kini mempunyai 10.3 juta pelanggan, sekali gus menjadikannya saluran YouTube pertama Malaysia yang mendapat anugerah tersebut.

‘Diamond Creator Award’ itu telah disampaikan sendiri oleh wakil Google Malaysia kepada Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi di studio Les’ Copaque Production, di sini kelmarin.

Ini merupakan satu kebanggaan kepada negara, kerana 10 juta langganan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah di mana anugerah tersebut disertakan dengan surat ucapan tahniah dari Ketua Pegawai Eksekutif YouTube, Susan Wojcicki.

Video khas akan dimuatnaik di saluran YouTube Les’ Copaque Production untuk mempamerkan anugerah itu bagi berkongsi kegembiraan bersama 10 juta pelanggan saluran tersebut.

Saluran Youtube Production memaparkan pelbagai kandungan kreatif dari Harta Intelek (IP) hakmilik Les’ Copaque Production seperti Upin & Ipin, Pada Zaman Dahulu, Dadudido, Puteri dan banyak lagi.

Saluran ini juga mendapat ‘Silver play Button’ (100 ribu langganan) dan ‘Gold Play Button’ (1 juta langganan) pada tahun 2017.

Anugerah ini mengiringi kejayaan Les’ Copaque sebagai studio animasi nombor satu negara yang berjaya membawa nama Malaysia ke mata dunia apabila filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah berjaya disenarai pendek dalam pencalonan Oscar bagi kategori animasi pada tahun lepas.

Les’ Copaque Production menyasarkan untuk mendapat anugerah ‘Custom Play Button’ atau lebih dikenali sebagai ‘Ruby Play Button’ dalam 3 tahun yang akan datang. – BERNAMA

- Advertisement -