Wajar Anwar sokong PN selepas disisih PH

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS mencadangkan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, langkah itu merupakan tindakan terbaik selepas pimpinan PH menolak pencalonannya ke jawatan Perdana Menteri.

Selain itu katanya, langkah tersebut sebagai sokongan moral kepada Muhyiddin untuk berkhidmat ketika negara berhadapan Covid-19.

“Saya nasihat Dato’ Seri Anwar tinggalkan PH kerana gabungan itu pun tidak mahu mengambil kira peranannya lagi.

“Sudah terbukti PH tidak mahukan Anwar kerana mereka tidak mencalonkan dia sebagai calon perdana menteri, jadi lebih baik Anwar beri sokongan moral kepada Muhyiddin,” katanya selepas mesyuarat Exco di JKR 10 hari ini.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menggesa ahli BERSATU menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

Manakala DAP dan PAN pula mahu PH memilih Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri kerana Anwar gagal memperoleh sokongan.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, cadangan tersebut tidak bermaksud Anwar perlu menyertai PN, sebaliknya sebagai sokongan moral sehingga penggal 14 berakhir.- HARAKAHDAILY 1/7/2020

- Advertisement -