Saat politik dakwah memasuki wilayah kekuasaan

- Advertisement -

PANTAI Teluk Kalong menunjukkan bahasa alam paling alami, deru angin menampar-nampar pipi dengan tiada isyarat tengkujuh dalam masa terdekat. Ombak bergumpal menghempas pantas dengan pasang surut air laut menunjukkan kekuasaan Tuhan. Musim tengkujuh belum menampakkan wajah dan pimpinan utama PAS diperingkat Pusat dan pemain bidang strategi berhimpun untuk melumati perbincangan, perancangan PAS dalam era pemerintahan. PAS dengan segudang pengalaman sejak ditubuhkan pada tahun 1951 sentiasa bersiaga untuk berdepan  dengan Pilihanraya 15.

- Advertisement -

Sebenarnya tarikh pemukiman PAS pusat pada 26 sehingga 28 Jun adalah tarikh Muktamar PAS Pusat, namun pandemik kovid 19 telah merubah perancangan asal. Namun taqdir Tuhan adalah yang terbaik, ruang masa yang ada digunakan untuk melumati perbincangan dan merimbun ukhuwwah antara pimpinan, pemikir dan strategis parti. Segala kemungkinan diartikulasi dengan baik dengan berstrategi, menetapkan plan dan pemetaan jalan untuk meraih kejayaan untuk masa hadapan.

PAS dalam era tamkin ini berhasrat mengukuhkan fikrah dan amal para pimpinan agar tidak larut dalam gemerlapan kuasa pemerintahan. Ujian kepada pimpinan semakin membesar dalam era memerintah diperingkat Pusat dan juga beberapa kerajaan negeri. Pemukiman ini juga sebagai  medan mengukuhkan ukhuwwah dan mengecas energi perjuangan dengan pelbagai pengisian termasuk acara santai.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam tertua negara ini, yang telah melebihi 69 tahun perjuangannya, bergerak seimbang disektor siasah, dakwah dan tarbiah. Harakatul ummah ini yang menghimpunkan insan-insan yang cintakan kepada Islam dan Syariatnya, berkewajiban memposisikan Islam sebagai elemen penting dalam pemerintahan negara ini. Pimpinan PAS dalam era tamkin dan berada di koridor kuasa ini wajar mempersiapkan diri sebagai model kepada ahli dan masyarakat kerana rakyat serta ahli sentiasa memerhatikan mereka.

Untuk memastikan pimpinan terus dipasak teguh dengan prinsip perjuangan, PAS sewajibnya mempunyai pimpinan yang piawai dan pakej disemua peringkat kepimpinan, maka pembinaan karektor kepimpinan ini mestilah bertunjang kepada thaqofah. Kepimpinan PAS wajib melumatkan seluruh hasrat dan aspirasi jamaah. Bijak dan kompeten sahaja tidak cukup tanpa keikhlasan, ungkap Dato Nik Mohd Amar dengan memetik pesan Profesor Zulkifli Mohamad “kita mungkin bodoh atau kurang bijak tapi jika kita ikhlas, maka Allah akan membantu kita. Pimpinan diingatkan meletakkan keikhlasan sebagai narasumber kepada seluruh aktiviti dan perjuangan.

Menjadi pemimpin PAS tidak boleh berpuas hati dengan tahap ilmu yang mereka ada kerana dunia yang semakin pantas bergerak, juga kerana kelompok  kelas menengah semakin membesar di negara ini dan mereka merupakan kelompok yang menuntut pelbagai jawaban daripada PAS. Masyarakat yang terdedah dengan pelbagai maklumat daripada terjahan langit dan juga masyarakat yang semakin akses dengan maklumat. 

Menjadi pemimpin PAS dipelbagai peringkat memerlukan budaya cintakan ilmu yang menggebu, melengkap diri dengan amalan wajib dan amalan sunat yang berterusan. Sebolehnya pemimpin boleh memuntahkan idea-idea yang segar di atas aksara, menulis untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat dengan ahli-ahli dan juga masyarakat. Menjadi qiadah ruhiyyah dalam masyarakat yang rentas sempadan ideologi. 

Pemimpin PAS mestilah menunjukkan qudwah dalam pembudayaan ilmu, jitu sahsiah Islam dan menjadi pencetus kepada pemugaran semangat jihad ta’alim. Menjadi pemimpin diserambi kuasa, maka jangan tinggalkan usaha membina kekuatan dalaman, solat berjemaah, rapat dengan al Quran, mendirikan ibadah malam, berpuasa sunat, mengamalkan zikir dan sentiasa mengingati mati. Kegelinciran diserambi kuasa biasanya terkait dengan kelemahan menjadi amalan kerohanian.

Teluk Kalong kami tinggalkan dengan sebongkah semangat yang dikutip daripada bicara pimpinan utama, melumati perbincangan, bukan sekadar mencicip resolusi yang muluk namun dihidangkan juga dengan keropok lekor, satar, otak-otak, pelbagai jenis durian dan secangkir kopi hangat. Maniskan berukhuwwah dalam jamaah ini, semoga Allah menetapkan tapak kaki kami diatas jalan ini sehingga dengusan nafas terakhir kami. 

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY 1/7/2020

- Advertisement -