Muhyiddin, Mahathir dan Anwar perlu duduk semeja

Bincang untuk menyelesaikan masalah negara melibatkan kerajaan dan pembangkang

anwar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengajak Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk duduk semeja berbincang menyelesaikan masalah negara.

- Advertisement -

Penganalisis Politik, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen, kebertanggungjawaban kerajaan dan pembangkang adalah sangat diperhatikan oleh semua pihak.

Menurutnya, Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar selaku pembangkang perlu pro-aktif membantu kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin mengadakan perbincangan yang membawa kebaikan kepada negara.

Dr Fathi yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengupas perkara itu baru-baru ini.

Kupasan bertajuk “Kerajaan Hari Ini: Apa Kata Pakar” pada Wacana Kesatuan 11.0 itu telah bersiaran secara langsung menerusi Facebook Kesatuan Mahasiswa anjuran Kesatuan Mahasiswa UUM.

“Sebab itu di dalam sistem Parlimen yang baik, ditubuhkan Jawatankuasa-jawatankuasa Terpilih yang mana anggota dia terdiri daripada wakil-wakil kerajaan dan parti-parti pembangkang.

“Maknanya kerajaan dan pembangkang boleh duduk semeja untuk membincangkan sesuatu isu yang menjadi bidang tugas kepada Jawatankuasa Terpilih ini tanpa dipengaruhi oleh dorongan untuk mendapat sokongan.

“Sebab ini mereka akan duduk semeja betul-betul bincang untuk kebaikan negara. Ini sebenarnya ini kita galakkan. Di dalam sesebuah negara yang menggunakan kaedah demokrasi berparlimen. Ini satu yang baik,” lontarnya.

Katanya, Pakatan Harapan sewaktu mentadbir selama 22 bulan telah mewujudkan banyak Jawatankuasa Terpilih yang diharap supaya diteruskan dan mereka kini sebagai pembangkang perlu kekal di dalamnya.

Terangnya, ini kerana negara memerlukan pembangkang yang kuat dengan mengemukakan soalan dan perbahasan semasa Sidang Parlimen dan memberi pandangan-pandangan positif dalam Jawatankuasa Terpilih.

Menurut Dr Fathi, peranan semak dan imbang sedemikian adalah peranan baik pembangkang dalam berdepan dasar tidak baik kerajaan dengan mengemukakan fakta dan bukannya tohmahan kosong.

“Bahkan digalakkan pembangkang memberikan cadangan-cadangan untuk membaiki kesilapan yang dilakukan kerajaan. Ini sebenarnya sistem demokrasi yang ideal yang kita mahukan. Maknanya kerajaan dan pembangkang boleh duduk semeja.

“Dalam situasi kita berdepan dengan cabaran besar dalam negara, dari sudut wabak COVID-19 ini dan juga cabaran ekonomi yang datang menyusul selepas itu, kita memerlukan keterbukaan di pihak kerajaan dan juga pembangkang.

“Kerajaan terutamanya selaku peneraju perlu mengamalkan sikap terbuka dengan mempelawa wakil-wakil daripada pembangkang untuk duduk semeja bantu negara bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi,” ujarnya.

Beliau turut mengemukakan contoh beberapa negara yang sedang melaksanakan perkara diajukannya itu ketika berhadapan COVID-19 ketika ini serta fokus terhadap hal ehwal rakyat. – HARAKAHDAILY 1/7/2020

- Advertisement -