K’jaan Kedah selesaikan isu-isu di selatan negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar dan EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Kedah yang mengadakan lawatan dan mesyuarat ke Daerah Bandar Baharu telah memberi perhatian untuk menangani beberapa isu di selatan negeri tersebut, hari ini.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, antara dilawati adalah pembinaan jambatan di Taman Serdang yang tertangguh selama 84 hari disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Menurut beliau, jambatan yang menyebabkan dua nyawa terkorban itu dibina dengan kos RM2.7 juta melibatkan lencongan tambahan sejauh 2 kilometer di mana dijadualkan siap pada 3 Jun 2021.

Maklumnya, pihak beliau turut melawat Masjid Al-Fateh Bandar Baharu yang dibina dengan kos RM4.5 juta di mana mengalami kerosakan struktur bangunan dan menara, masalah kebocoran dan kulat di mana menuntut audit forensik dilakukan.

Katanya, kerosakan dialami masjid yang berada di lokasi sangat strategik dan berpemandangan cantik itu juga akan dibaiki Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita minta lakukan segera pembaikpulihan supaya ia selamat digunakan oleh anak kariah Masjid Al-Fateh Bandar Baharu, masjid daerah. Sayang sikitlah, kita minta segera diambil tindakan oleh ICU sebagai agensi pelaksana masjid tersebut,” ujarnya.

Bentang Sanusi, mesyuarat juga memutuskan penyampaian kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) fasa kedua bermula Julai hingga Disember ini kepada lebih 4,000 ibu-ibu bagi Daerah Bandar Baharu.

Terangnya, kad serba boleh digunapakai itu masih memperuntukkan jumlah sama iaitu RM250 yang dapat dimanfaatkan pembelian barangan di kedai dan juga rawatan kesihatan di klinik panel dilantik.

Maklumnya, skim KIDA di bawah program Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) itu sekurang-kurangnya dapat meringankan kaum ibu pemegang kad tersebut.

Menurut Sanusi lagi, turut dirancang di bawah KIDA adalah kelas tuisyen bagi anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan seperti SPM dan STPM secara percuma.

Penyelesaian masalah air di Klinik Relau sejak 15 tahun juga maklumnya, telah diatasi pihak kerajaan negeri dalam tempoh tiga minggu dengan menggunakan pam kuasa. – HARAKAHDAILY 1/7/2020

- Advertisement -