Hina Jata Negara: Malapetaka jika dibiarkan

jata
- Advertisement -

SETIAP negara ada maruahnya dan imej tersendiri!

Isu terbaru yang berlaku sama ada ‘sengaja’ atau ‘kepura-puraan tidak sengaja’ menerusi penjualan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ oleh Kean Wong adalah isu sangat besar dan sensitif apabila terdapat unsur yang jelas menghina negara.

Jata Negara telah diubah kepada imej yang tidak wajar dan menampakkan imej yang keji lagi jahat. Sedangkan Jata Negara merupakan Lambang Negara yang mempunyai maksud, ciri, dan nilai khusus sesebuah negara. Negara yang menggunakan Jata Negara telah menggabungkan ciri yang ada oleh sesebuah negara itu.

Jata Negara adalah maruah dan imej bagi sesebuah negara yang tidak boleh dibuat main atau dipermainkan. Sehingga apa sahaja logo atau gambar yang dilihat mempunyai mirip dengannya dalam keadaan diubah sehingga mengundang tidak hormat dengan merobek kehormatannya merupakan satu kesalahan besar.

Pemeliharaan Jata Negara daripada sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

- Advertisement -

Kelakuan biadab seperti ini hakikatnya merobek kehormatan negara. Malah jika dibiarkan begitu sahaja atau hanya dikenakan tindakan yang ringan hanya mengundang malapetaka. Ini kerana rasa hormat dan memelihara maruah negara apabila hilang, maka tidak mustahil tiada lagi perasaan mahu melindungi negara dari serangan musuh yang meranapkan.

Nilai jati diri warganegara tanpa penghormatan kepada Jata Negara adalah kosong dan tidak akan berasa bersalah melakukan pengkhianatan kepada negara. Sedangkan kedudukan negara sangat besar dari perspektif Islam sekalipun. Apatah lagi negara yang menjadi medium dalam kerja dakwah sebagaimana Malaysia yang mempunyai kekuatan pada sudut dakwah dan agama Islamnya apabila termaktub antaranya:

(1) Perkara 3 (1): Islam agama Persekutuan.
(2) Perkara 150 (6A): menegaskan antara enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara di dalam keadaan darurat iaitu berkait dengan Undang-undang Islam dan adat Melayu.
(3) Perkara 11 (4): Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”
(4) Majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam dan didominasi oleh kaum Melayu yang ditafsirkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan sebagai penganut Islam.

Yahudi dihalau dari Madinah dan dihukum kerana sabotaj Perjanjian Madinah

Secara umum, pentadbiran Rasulullah S.A.W tidak menghalau orang bukan-Islam termasuklah kalangan Yahudi yang berada di dalam negara Madinah kerana semata-mata mereka bukan-Islam. Malahan orang bukan-Islam diberikan ruang dan hak sebagai warganegara dengan syarat mesti menghormati dan memegang perjanjian sebagaimana yang termaktub dalam Piagam Madinah.

Dalam Piagam Madinah yang menjadi undang-undang bertulis, memperincikan hak dan tanggungjawab antara penganut Islam sebanyak 23 Fasal manakala penganut bukan-Islam sebanyak 24 Fasal. Namun asas yang sama antara keduanya ialah mestilah mempertahankan Madinah dari serangan musuh.

Di Madinah pada tahun awal pentadbiran Baginda S.A.W kita dapat lihat, Yahudi wujud dalam negara itu menerusi kabilah Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah. Mereka tidak dihalau sekalipun mereka tidak menerima ‘kerasulan’ yang ada pada diri Baginda S.A.W, mereka mengejek umat Islam sewaktu terjadinya peristiwa pertukaran kiblat dari Masjidil Aqsa ke Kaabah.

Namun mereka dihukum dengan diusir dan ada yang diperangi apabila mereka bersekongkol dengan musuh yang menyerang Madinah. Mereka menjadi tali barut untuk hancurkan negara Madinah dari dalam kerana Madinah adalah negara yang menjadi medium pelaksanaan Islam.

Yahudi Bani Nadhir dendam kepada Baginda S.A.W apabila Ketua Umum mereka dihukum bunuh. Ini kerana Ketua Umum kabilah Bani Nadhir itu iaitu Ka’ab bin al-Asyraf mewakili mereka keluar ke Makkah bersama-sama dengan 40 orang pengikutnya menemui Abu Sufyan (yang menjadi pemimpin Makkah selepas kematian Abu Jahl). Pemergian mereka adalah bagi menyatakan kemarahan terhadap tentera Islam yang menang di Badar dan kesediaan mereka mengadakan pakatan baru, iaitu membantu Abu Sufyan dan kaum kafir Quraish dalam usaha memerangi dan memporak-perandakan jamaah Rasulullah S.A.W.

Begitu juga Yahudi Bani Quraizah apabila mereka sanggup bersekongkol dengan menerima cadangan tawaran dari tentera Ahzab untuk mereka menyerang Rasulullah dan umat Islam dari kedudukan Selatan Madinah. Akhirnya mereka diperangi dan ada yang dibunuh, diusir serta ditawan.

Normalisasi ‘tidak tahu’, ‘minta maaf’ walau dalam isu besar lagi sensitif

Dalam isu Jata Negara ia bukan isu kecil atau remeh. Sememangnya ada kesalahan yang boleh diterima alasan dan permohonan maaf begitu sahaja. Namun bukan semua terutama pada isu yang besar lagi sensitif seperti isu Jata Negara ini. Jangan sampai menjadi normalisasi sehingga ummah lesu dalam bangkit membentengi hak dan maruah negara kerana perkataan ‘mohon maaf’ secara bermudah-mudah.

Pernah sekali kemarahan Rasulullah S.A.W mengisytiharkan perang apabila isu nyawa pemuda Islam dibunuh oleh sekumpulan Yahudi kerana pemuda tersebut mempertahankan aurat Muslimat yang diselak kainnya sehingga terdedah. Lantas Rasulullah S.A.W mengarahkan tentera Islam memerangi Yahudi Bani Qainuqa’ ini.

Ia soal nyawa dan juga soal maruah seorang wanita Muslimat. Ini soal maruah dan imej negara! Sudah pasti isu lebih besar. Nilai negara lebih besar dari individu. Jika nilai dan maruah bagi individu pun penting dan mesti dipertahankan apatah lagi nilai dan maruah sebuah negara.

Jangan dilihat isu hina Jata Negara ini tidak dibantah oleh ummah serta tanpa hukuman yang berat akan menjadi penyebab siri-siri seterusnya dalam merobek kehormatan dan maruah negara secara terancang akan terjadi. Jika berlaku, maka malapetakalah buat kita.

Semoga pihak berkuasa dapat menjalankan siasat dan pihak berautoriti menjatuhkan hukuman bagi mencegah agar isu seumpama ini tidak berulang kali berlaku.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 1/7/2020

- Advertisement -