Hina Jata Negara: Kenakan tindakan tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak cukup hanya dengan permohonan maaf, tindakan afirmatif dan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang menghina, menghasut dan menyebarkan keburukan kerana ia membawa kerosakan kepada negara.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, tindakan biadab yang dilakukan oleh individu yang menghina Jata Negara perlu diajar dengan undang-undang tegas supaya tindakan dan perbuatan sebegitu tidak berulang lagi.

Katanya, sifat sengaja menimbulkan unsur-unsur yang boleh mencetuskan huru hara dalam negara tidak boleh dibiarkan.

Malah, tidak kira apa jua alasan bagi meraikan kreativiti tanpa had, sehingga mencetuskan serta memperlekehkan yang boleh merosakan pemikiran dari kalangan rakyat terutama anak muda.

Idris yang juga Senator Dewan Negara mengulas isu berkenaan ketika dihubungi Harakah pada 30 Jun.

Media melaporkan penerbit buku kontroversi bertajuk Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia menyatakan permohonan maaf selepas visual pada kulit buku terbitannya dikatakan menghina logo Jata Negara.

Chong Ton Sin yang juga pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbuday berkata, pihaknya tidak berniat untuk menghina logo Jata Negara dan tidak menyangka perkara itu akan menjadi isu besar.

Beliau kemudian memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan visual pada muka hadapan buku berkenaan dan menyatakan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak polis.- HARAKAHDAILY 1/7/2020

- Advertisement -