Geng ‘Satay’ ditahan polis

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Polis menahan enam anggota kumpulan ‘Satay’ yang aktif melakukan kegiatan curi motosikal dan pengedaran dadah di sekitar Sungai Buloh di sini.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, kesemua lelaki berusia 22-49 tahun itu ditahan menerusi Op Lejang Khas yang dijalankan pada 16-29 Jun lepas di sekitar Sungai Buloh dan polis turut antaranya 28 paket dadah heroin, 12 paket syabu serta peralatan curi motosikal.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah tasik di Kampung Melayu Sri Kundang iaitu lokasi kumpulan ini membuang rangka motosikal yang dicuri. Polis menemui 13 rangka motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kumpulan terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan curi motosikal sejak setahun lepas dengan menyasarkan motosikal Yamaha 135LC dan Honda EX5.

Menurut Shafa’aton, motosikal yang dicuri akan dileraikan dan hanya komponen tertentu diambil untuk dijual kepada pembeli, manakala rangka motosikal dibuang ke dalam sungai atau tasik.

Kesemua suspek direman selama lima hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

- Advertisement -