Wujud Akta halang berulang penghinaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan satu Akta yang tegas dan keras terhadap mana-mana pihak yang menghina simbol rasmi negara.

Menurutnya, hukuman atau denda mesti dikenakan memandangkan perbuatan berkenaan adalah satu penghinaan yang besar.

- Advertisement -

“Jata Negara merupakan satu elemen rasmi negara kita. Bagaimana kita menghormati bendera begitu jugalah kita menghormati Jata Negara kita,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah Riduan perbuatan menghina elemen-elemen rasmi menjadi ‘trend’ kerana dilihat sangat ketara dalam negara ini terutamanya ketika pemerintahan zaman kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita berharap kerajaan Perikatan Nasional bertegas supaya perkara sama tidak berulang seperti apa yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya beliau melihat segelintir rakyat tidak menghormati Jata Negara seolah-olah mereka bukan warganegara Malaysia.

“Kalau kita lihat kepada komen-komen daripada berita di Malaysiakini di situ cukup kita memahami bahawa negara kita sedang mengalami satu krisis kebiadapan segelintir rakyat yang tidak menghormati Jata Negara,” katanya.

Beliau memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba untuk menyebar dan mengiklan penghinaan terhadap lambang rasmi Negara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas permohonan maaf yang dibuat oleh penerbit buku kontroversi yang menggunakan visual mirip Jata Negara yang telah diubahsuai sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat.- HARAKAHDAILY 30/6/2020

- Advertisement -