Tragedi bot terbalik: Bantuan kepada keluarga mangsa

- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan Negeri akan menyumbangkan bantuan kecemasan berupa wang tunai kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian bot terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin di sini, malam tadi.

- Advertisement -

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan itu akan disampaikan menerusi Tabung Serambi Mekah kepada keluarga mangsa yang terbabit selepas maklumat lengkap diterima oleh kerajaan negeri.

“Sekarang kita sedang susun untuk memberi bantuan (kepada keluarga mangsa) selepas dapat maklumat (lengkap),” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Jeti Projek Pemasaran Ikan di Kuala Kemasin di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Difahamkan sumbangan kecemasan menerusi Tabung Serambi Mekah sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan RM500 kepada keluarga mangsa yang terselamat.
 
Dalam pada itu, Ahmad turut menasihatkan penggemar sukan rekreasi air untuk mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) untuk melakukan aktiviti di air terutama menggunakan jaket keselamatan.

“Penggemar sukan rekreasi air juga boleh membuat semakan mengenai keadaan paras air laut, keadaan angin dan cuaca menerusi laman sesawang Jabatan Laut mahupun Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum melakukan aktiviti mereka terutama jika ia melibatkan aktiviti di laut.

“Kerajaan negeri melahirkan ucapan takziah dan berdukacita di atas tragedi yang menimpa keluarga pemancing ini dan berharap mangsa yang hilang dapat ditemukan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata pihaknya akan menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia yang berasal dari Pasir Mas.

Beliau berkata sumbangan itu akan disalurkan menerusi Pusat Khidmat Pasir Mas.
 
Semalam, 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak mengalami bot terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin. 

Dalam kejadian pukul 8:00 malam itu, empat daripada mereka ditemukan lemas, empat lagi masih hilang manakala 12 pemancing lagi disahkan selamat yang kesemua mereka berusia 18 sehingga 60 tahun.

Mereka yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an. – BERNAMA

- Advertisement -