KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan senarai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang tular melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Melalui laporan sebuah portal berita atas talian, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, setakat ini jawatankuasa parti PAS masih belum berbincang mengenai mana-mana kerusi berhubung PRU-15 sekaligus menafikan senarai calon yang tular melalui WhatsApp itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menafikan hal sama serta mendakwa bahawa hal tersebut adalah palsu dan tidak berasas.
Malah, katanya ia adalah satu tindakan berniat jahat pihak tertentu selain merupakan satu tindakan perang psikologi yang mempunyai niat tidak baik serta bertujuan mencetuskan kesangsian dalam kalangan parti-parti dalam kerajaan dan penyokong akar umbi.
Jelasnya, adalah mustahil berita tersebut adalah benar sedangkan perundingan mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti belum bermula.
Terdahulu, tular satu dokumen yang menyenarai calon bagi PN melalui kumpulan aplikasi WhatsApp dimana mengandungi agihan kerusi parlimen seluruh negara membabitkan pimpinan PAS, Umno, Bersatu dan beberapa parti lain.- HARAKAHDAILY 30/6/2020