Kerajaan negeri bantu mangsa bot terbalik

Menteri Besar, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika meninjau dan mendengar taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Jeti Projek Pemasaran Ikan di Kuala Kemasin Tawang hari ini.
- Advertisement -

BACHOK: Keluarga mangsa kejadian bot terbalik di perairan Kuala Kemasin malam semalam akan diberi bantuan Tabung Serambi Mekah.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, bantuan disampaikan dalam bentuk wang tunai itu merupakan sebahagian inisiatif kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak RM1,000 diberikan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia, manakala keluarga mangsa yang terselamat pula diberi bantuan RM500.

“Kerajaan negeri melahirkan ucapan takziah dan berdukacita di atas tragedi yang menimpa keluarga 20 pemancing terbabit dan kita harap mangsa yang hilang dapat ditemui dengan selamat.

“Sekarang kita sedang menyusun langkah untuk menyampaikan bantuan kepada semua mangsa terlibat melalui Tabung Serambi Mekah,” katanya selepas meninjau dan mendengar taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Jeti Projek Pemasaran Ikan di Kuala Kemasin Tawang hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi, Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood dan Ketua Polis Kelantan Dato’ Hasanuddin Hassan.

Operasi tersebut disertai 10 pegawai bersama 61 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pada kejadian tersebut bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dilanda ribut di perairan Kemasin kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pangkalan Kemasin.

Sehingga sekarang 11 mangsa bot karam dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Manakala empat lagi pemancing terbabit dari Pasir Mas meninggal dunia. Operasi mencari dan menyelamat dijalankan untuk mencari empat lagi mangsa.- HARAKAHDAILY 30/6/2020

- Advertisement -