Isu pertanian haram diatasi – MB Perak

- Advertisement -

IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) berjaya memutihkan seluas 1,393.13 hektar tanah di seluruh negeri daripada aktiviti penerokaan haram untuk pertanian sejak tahun lepas. 

- Advertisement -

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha pemutihan itu dimulakan pada 2018 dan tahun lepas seluas 1,165.03 hektar tanah telah diputihkan manakala untuk tahun ini hanya 228.10 hektar melibatkan keseluruhan kira-kira 300 petani.

Menurut Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PPPNP, usaha syarikat berkaitan kerajaan negeri itu bukan untuk merampas tanah yang diusahakan dengan kegiatan pertanian secara haram, sebaliknya memastikan para petani mengusahakannya dengan sah. 

“Apa yang diusahakan adalah pihak perbadanan berjumpa dengan peneroka, cari jalan untuk mereka terus usahakan pertanian itu dengan membayar sewa pajakan.

“Kemudian hasil itu digunakan semula oleh PPPNP untuk memperhebat projek pertanian bagi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah PPPNP di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata kadar sewaan tahunan yang dikenakan oleh pihak PPPNP adalah berpatutan iaitu RM1,500 sehektar bagi kegiatan pertanian manakala RM2,000 sehektar untuk penternakan udang.
 
Maklumnya terdapat seluas 3,497.7 hektar lagi tanah milik PPPNP telah diterokai secara haram, tetapi belum diputihkan dan berharap petani terbabit dapat tampil untuk memastikan mereka mengusahakannya secara sah sekali gus mengelakkan sebarang kerisauan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata PPPNP telah mencatat pendapatan sebanyak RM108 juta bagi tempoh Januari hingga April lepas, meningkat sebanyak RM12.9 juta atau 14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Katanya, peningkatan memberangsangkan itu didorong oleh pengukuhan harga sawit mentah, selain pengurusan kewangan berhemat oleh pihak perbadanan untuk memastikan aliran tunai terus stabil.

Pada majlis itu, Ahmad Faizal turut menyampaikan simbolik projek Pemacu Agrotani Perak (PEMACU) dan Skim Usahawan Agroprihatin. – BERNAMA

- Advertisement -