Cadangan dua syif ringankan beban kakitangan KK

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan sistem dua syif di Klinik Kesihatan (KK) bertujuan meringankan beban yang dihadapi oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri, kata Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Dr Azmi Ghazali.

- Advertisement -

Menurut beliau, cadangan tersebut diutarakan berdasarkan situasi semasa dimana terdapat sesetengah klinik yang beroperasi sehingga jam 10 malam dan petugas kesihatan juga terpaksa menjalankan tugas sehingga waktu operasi tamat.

“Memang betul, kita bagi claim, tapi masa bersama keluarga dan diri sendiri telah hilang, itu yang pertama. Kedua , kita berfikiran dengan melakukan sistem dua syif ini, kita dapat laksanakan ‘social distancing’.

“Kerana hari ini terlampau ramai pesakit, ada setengah klinik yang menempatkan petugas kesihatan 2, 3 orang dalam satu bilik sebab pesakit ramai.

“Jadi kita tak dapat nak praktikkan ‘social distancing, justeru itu untuk melaksanakan SOP ini, ini lah cadangan KKM,” ujarnya ketika ditemui media selepas menerima cek kutipan dana Shopee kepada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Ahli Parlimen Bagan Serai itu, sistem dua syif itu tidak dilaksankan di semua Klinik Kesihatan di Malaysia, jelasnya ia hanya disarankan kepada beberapa klinik yang mempunyai ramai pesakit dan mempunyai staf kesihatan yang cukup bagi menampung dua syif.

Malah menurut beliau, terdapat beberapa klinik yang sudah pun melaksanakan sistem sedemkian dan mendapat maklum balas yang baik.

Kutipan derma Shopee dengan kerjasama MMA yang dilancarkan April tahun ini berjaya mengumpul RM699,830 kutipan yang ditujukan khas buat barisan hadapan di Malaysia memerangi pandemik Covid-19.

Sumbangan tersebut diserahkan Pengarah Urusan Shopee, Ian Ho kepada pihak MMA hari ini diketuai Presidennya, Dr N Ganabaskaran, dan Presiden MMA Foundation, Dato’ R Doraisingam bersama delegasi MMA yang lain.- HARAKAHDAILY 30/6/2020

- Advertisement -