Pemuda PAS, BN desak polis siasat hina Jata Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis telah dilakukan oleh Pemuda PAS bersama Pemuda Umno, MIC dan MCA di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi berhubung kulit sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia’ yang didakwa menghina Jata Negara.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

- Advertisement -

Menurut Nizham, laporan ini dibuat supaya tindakan tegas diambil kepada pihak yang terlibat dalam pengeluaran buku tersebut yang telah menghina Jata Negara sebagai lambang kedaulatan negara ini.

“Jata Negara adalah lambang kedaulatan negara. Ini bukan soal agama, bangsa atau kaum tetapi soal tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia kerana ini melibatkan isu sensitif, penghinaan kepada kedaulatan negara.

“Kita minta kerajaan hari ini mengambil tindakan tegas dan minta pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, pihak polis dan agensi berkaitan, sila ambik tindakan tegas terhadap mereka yang menghina Jata Negara,” katanya ketika ditemui media selepas selesai membuat laporan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Turut hadir sama exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo); exco Pemuda PAS, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai; exco Pemuda MCA, Lim Soon Pin; dan setiausaha Pemuda MIC, G Theeageesh.

Exco Pemuda PAS, Faizzuddin berkata, tindakan itu adalah satu percubaan awal untuk memberi ancaman kepada negara dan yakin akan ada lagi serangan lebih dahsyat terhadap kedaulatan negara selepas ini.

Tegasnya, meminta supaya tindakan biadap tersebut dihentikan dan tidak teragak untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia tidak kira parti politik untuk bersama berhimpun sekiranya perkara itu berlanjutan.

“Mesej kami ialah ‘enough is enough’! Setakat ini saja mereka boleh melampaui batas, kerana kami tidak akan membiarkan ‘bajingan-bajingan’ ini menghina dan mencabar kedaulatan negara.

“Sekiranya mereka ‘langgar lampu mereh’, kita tidak akan teragak untuk adakan satu perhimpunan lebih besar daripada Himpunan Icerd sekiranya mereka masih melampaui batas lebih daripada apa yang berlaku pada hari ini,” katanya.

Baru-baru ini, tersebarnya lukisan mirip Jata Negara yang meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Dalam laporan polis berkenaan, menyatakan kulit buku yang mirip Jata Negara itu memberi gambaran “merendah-rendahkan taraf Jata Negara dan memberikan gambaran buruk tentang negara kepada pembaca buku tersebut”.

Selain itu, ia sengaja dibuat untuk merendahkan taraf lambang rasmi negara selain bermotifkan politik untuk menghasut kebencian kepada negara.- HARAKAHDAILY 29/6/2020

- Advertisement -