Kos saringan Covid-19 perlu tanggung sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mulai hari ini rakyat Malaysia dan warga asing yang pulang ke Malaysia perlu menanggung sendiri kos ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian saringan itu dibuat sebaik mereka tiba di pintu masuk negara.

Ujarnya walau bagaimanapun kerajaan mengenakan pengecualian kepada tiga kategori; orang kelainan upaya (OKU), pelajar dan pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi.

- Advertisement -

Katanya, golongan OKU mestilah mempunyai kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala syarat pelajar pula mesti yang pulang dari luar negara buat pertama kali dan perlu kemukakan bukti pengajian di luar negara.

Tambahnya, keputusan pengecualian kos ujian saringan ini diputuskan dalam mesyuarat bersama menteri-menteri pagi tadi.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana individu yang tergolong dalam tiga kategori berkenaan yang baharu tiba ke negara pagi tadi, dan telah membuat pembayaran sendiri ujian saringan Covid-19 boleh menuntut pembayaran tersebut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan keputusan mesyuarat bersama menteri-menteri memutuskan taman tema air dan kering dibenarkan beroperasi mulai 1 Julai ini.

“Kebenaran ini akan melibatkan 54 taman di seluruh negara dan melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja.

“Pengusaha semua taman tema perlu mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi pada setiap masa,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Putrajaya, hari ini.

Namun katanya, jumlah pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang saiz taman tersebut malah pengunjung perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, menjalani pemeriksaan suhu dan menyediakan hand sanitizer.

“Bagi pengusaha taman tema air khususnya, mereka perlu mengikut garis panduan pengurusan dan penyelenggaraan kolam renang awam oleh pihak berkuasa tempatan serta garis panduan pemantauan kualiti kolam air.

“Garis panduan serta SOP secara detail boleh diperolehi daripada laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya ataupun (MOTAC),” kata beliau.- HARAKAHDAILY 29/6/2020

- Advertisement -