Buku kontroversi: DPPM arah lapor polis

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengarahkan seluruh sayap Pemuda PAS Negeri-Negeri dan Kawasan untuk membuat laporan polis terhadap buku ‘Reformasi, Resistance And Hope In New Malaysia’ yang disifatkan menghina Jata Negara.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya yakin buku seperti itu pastinya tidak melalui prosedur kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan perkara ini sepatutnya perlu dihindar atas faktor kepentingan dan keselamatan negara.

- Advertisement -

“Buku seperti ini membawa kepada tercalarnya imej negara dengan penghinaan ke atas Jata Negara yang menjadi lambang kemegahan negara kita.

“Ianya juga menjadi faktor buku-buku indie yang berkualiti dan mampu membina pemikiran yang matang, menerima persepsi buruk serta terjejas akibat daripada penghinaan yang dibuat oleh penerbitan buku ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook (FB), hari ini.

Baru-baru ini, tersebarnya lukisan mirip jata negara yang meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Mengulas lanjut, Ir Khairil berkata pihaknya melahirkan rasa kecewa terhadap penularan gambar depan buku itu, kompliasi artikel disunting oleh Kean Wong, yang diterbitkan sebagai buku ‘indie’ oleh syarikat penerbitan Ilham Books.

Tegasnya, buku itu perlu diharamkan daripada sampai ke tangan rakyat Malaysia agar tidak tersebarnya fahaman songsang.

“Kita tidak mahu buku ini terus menyebarkan fikrah songsang serta mengancam perpaduan dan keselamatan negara.- HARAKAHDAILY 29/6/2020

- Advertisement -