Berjuang, tapi ahli neraka

- Advertisement -

نْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : شَهِدْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ لِرَجُلٍ مِمَّنْ يَدَّعِي الإِسْلاَمَ : هَذَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ ، فَلَمَّا حَضَرَ القِتَالُ قَاتَلَ الرَّجُلُ قِتَالًا شَدِيدًا فَأَصَابَتْهُ جِرَاحَةٌ ، فَقِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، الَّذِي قُلْتَ لَهُ إِنَّهُ مِنْ أَهْلِ النَّارِ ، فَإِنَّهُ قَدْ قَاتَلَ اليَوْمَ قِتَالًا شَدِيدًا وَقَدْ مَاتَ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِلَى النَّارِ ، قَالَ : فَكَادَ بَعْضُ النَّاسِ أَنْ يَرْتَابَ ، فَبَيْنَمَا هُمْ عَلَى ذَلِكَ ، إِذْ قِيلَ : إِنَّهُ لَمْ يَمُتْ ، وَلَكِنَّ بِهِ جِرَاحًا شَدِيدًا ، فَلَمَّا كَانَ مِنَ اللَّيْلِ لَمْ يَصْبِرْ عَلَى الجِرَاحِ فَقَتَلَ نَفْسَهُ ، فَأُخْبِرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذَلِكَ ، فَقَالَ : اللَّهُ أَكْبَرُ ، أَشْهَدُ أَنِّي عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ ، ثُمَّ أَمَرَ بِلاَلًا فَنَادَى بِالنَّاسِ : إِنَّهُ لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ إِلَّا نَفْسٌ مُسْلِمَةٌ ، وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الفَاجِرِ

“Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Kami menyaksikan bersama Rasulullah S.A.W, sabdanya kepada seorang lelaki yang mengaku Islam: Dia ini dari kalangan ahli neraka. Ketika mana orang itu menyertai peperangan, dia berperang dengan sangat hebat sehingga mengalami kecederaan serius. Lalu dikatakan: Wahai Rasulullah, orang yang kamu katakan tadi sebagai ahli neraka hari ini dia berperang dengan bersungguh-sungguh itu, dia telah mati. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: Ke neraka. Abu Hurairah R.A berkata: Hampir-hampir sebahagian hadirin merasa ragu. Ketika mereka berada dalam keadaan seperti itu, dikatakan bahawa sesungguhnya ia belum mati, sebaliknya mengalami luka yang sangat parah. Ketika malam datang ia tidak bersabar atas luka yang menimpanya, maka ia membunuh dirinya sendiri. Lalu Nabi diberitahukan mengenai hal tersebut, dan Baginda S.A.W bersabda: “Allah Yang Maha Besar, aku bersaksi bahawa aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.” Lalu Nabi memerintahkan Bilal untuk menyeru manusia dengan berkata: “Sesungguhnya tidak masuk syurga kecuali jiwa yang Muslim dan sesungguhnya Allah akan menguatkan agama ini dengan tenaga orang yang jahat.”

(Shahih Bukhari)

- Advertisement -

Ibrah

(1) Hadis yang disabdakan Nabi S.A.W ini ada perselisihan dalam menceritakan asbab wurud (sebab penurunan Hadis). Walau bagaimanapun, kesemuanya mempunyai ibrah yang sama, menggambarkan bahawa antara penyumbang kepada kemenangan Islam ialah ahli neraka.

Bukan sekadar itu, kita juga perlu sedar bahawa buat kerja dalam Islam jangan sampai putus asa. Pancit. Sudah penat berada dalam keadaan susah dan diuji. Meninggalkan perjuangan sambil mendabik dada ‘ini jasaku sebelum ini’.

Walaupun penat dan terluka di medan ini, jangan kita mengambil langkah sepertimana orang-orang yang dikategorikan sebagai ahli neraka. Kata berjuang Islam, tapi perangai macam ahli neraka, atau meniru sikap-sikap ahli neraka.

Walaupun di mata masyarakat atau rakan-rakan dilihat sebagai pejuang tegar, namun hakikatnya Allah S.W.T lebih mengenali. Maka kita sepatutnya berusaha menjauhkan diri daripada sifat dan sikap yang menjerumuskan kita ke dalam neraka.

(2) Ada yang mengatakan bahawa sebab penurunan Hadis ini berikutan ahli neraka itu menyertai peperangan kerana menyimpan dendam terhadap kaum yang sedang diperangi Rasulullah S.A.W.

Justeru, penyertaannya di medan perang bukan kerana Allah S.W.T, akan tetapi kerana kebencian dan dendam yang tersimpan. Maka kita perlu faham bahawa berjuang bukan berpaksikan kebencian atau dendam akan tetapi untuk menegakkan agama Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman;

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh.”

(al-Maidah: 2)

Sebab itulah kita perlu sentiasa membetulkan niat bimbang tersilap matlamat perjuangan. Biasalah, kadang-kadang terfikirkan kepentingan yang diperolehi ketika berjuang. Maka, betulkanlah hati.

(3) Hadis ini memberitahu kita bahawa yang membantu memenangkan Islam bukan hanya orang beriman atau orang-orang yang baik. Akan tetapi Allah berkuasa memenangkan Islam dengan wujudnya orang-orang seperti itu.

Walaupun kesudahannya neraka, kerana mempunyai krisis keimanan, namun kewujudan golongan ini pastinya ada sepanjang zaman. Mungkin kita tidak sedar.

Yang digambarkan di dalam Hadis ini ialah orang itu tidak tahan dengan cedera yang dialami, lalu membunuh diri. Menggambarkan bahawa orang ini mengalami konflik aqidah, yang akhirnya menjerumuskan dirinya ke dalam neraka sekalipun berjihad.

Dalam hal ini kita perlu sedar, kadangkala kebodohan musuh, perebutan jawatan sesama mereka hakikatnya ia adalah pertolongan Allah S.W.T untuk memenangkan Islam. Secara tak langsungnya, pertelingkahan mereka itu menyumbang kepada kemenangan Islam.

Tujuannya adalah untuk menampakkan kuasa Allah S.W.T, bukan untuk menjadi modal bagi seseorang yang beroleh kemenangan untuk menjaja dirinya sebagai super hero.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 29/6/2020

- Advertisement -