Planetarium Negara teraju pendidikan astronomi

- Advertisement -

SEMALAM pihak MOSTI melakukan lawatan diketuai YB Khairy Jamaluddin ke Planetarium Negara bersama Ketua Setiausaha, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha, Dr Mohd Nor Azman Hassan.

- Advertisement -

Delegasi telah disambut Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari dan telah memberikan penerangan mengenai fungsi, peranan, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Planetarium Negara dalam menerajui pendidikan astronomi sains angkasa di Malaysia.

Planetarium Negara berkongsi ilmu astronomi mengenai jasad cakerawala yang terdiri daripada gabungan cakerawala yang terdiri dari gugusan bintang-bintang, planet, buruj, komet, nebula dan galaksi melalui simulasi langit menggunakan teknologi ‘Full Dome System’.

Memandangkan cuaca agak mendung, delegasi dibawa merasai pengalaman Simulasi langit Kuala Lumpur. Banyak kelebihan Malaysia yang berada di garisan khatulistiwa seperti dapat melihat kedua-dua buruj hemisfera utara dan hemisfera selatan. Kita sememangnya bertuah.

Banyak kejayaan yang ditempa oleh Planetarium Negara. Antara yang paling penting adalah Malaysia berjaya menamakan sebuah bintang dan planet di buruj Fornax. Bintang yang terpeta di landskap astronomi ialah ‘Intan’ dan planet ialah ‘Baiduri’. Kejayaan mengangkat kedua-dua nama tersebut diraih menerusi Pertandingan Nameexoworlds Malaysia yang julung kali diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-100 Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) pada 1 Julai hingga 27 Oktober 2019.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 27/6/2020

- Advertisement -