Perlukah mengambil suplemen?

suplemen
- Advertisement -

SETENGAH orang beralasan rakyat Malaysia kurang zat makanan, jadi kena ambil suplemen. Kempen mereka, dengan suplemen berjenama yang mereka makan selama ini telah berjaya menyelamatkan dia dari banyak penyakit. Tubuh semakin bertenaga setiap hari dan yang penting, ekonomi semakin kukuh. Masuk ahli sahaja anda akan membantu usahawan Bumiputera Muslim. Aha itu yang utama.

Tetapi majoriti pakar pula berpendapat sebaliknya. Suplemen yang khusus kepada kes-kes tertentu sahaja seperti ibu mengandung perlu suplemen zat besi atau seumpamanya. Pakar-pakar itu melihat bahawa suplemen tidak diperlukan dalam jumlah yang melampau kerana makanan rakyat Malaysia sudah mewah dengan sumber ‘suplemen’ semulajadi. Boleh kita bilang satu persatu zat vitamin yang terdapat dalam menu makanan rakyat kita. Memang mencukupi. Tidak perlu bimbang dan tidak berkerunsingan melampau jika tidak beli produk suplemen berjenama itu.

- Advertisement -

Nah kita tengok statistik dari kajian terbaharu:

(1) Lebih separuh rakyat negara kita gemuk.
(2) Negara Malaysia adalah tertinggi di kalangan negara-negara jiran.
(3) Wanita dilaporkan menjuarai kegemukan.
(4) Membimbangkan, kegemukan di kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat!

Gemuk ini bukan akibat tak cukup zat makanan. Malah terlebih suplemen? Secara kajian selanjar, gemuk memang akibat terlebih makan, kurang bersenam atau mempunyai penyakit kronik lain seperti kencing manis.

Mungkin orang akan tuduh, suplemen itu bukan punca gemuk. Puncanya adalah melayan makanan mengarut yang mengandungi lemak atau makanan segera.

Tunggu dulu. Jika dengan anggapan makanan berlemak atau makanan segera itu dimakan oleh golongan kaya, teori kegemukan hanya banyak di kalangan mereka. Orang miskin mana mampu beli Nasi Goreng USA, KeyEfSee mahupun MatDonat! Tetapi kajian atas kanak-kanak oleh Z Yang (2019) mendapati kegemukan kanak-kanak di kalangan orang miskin meningkat dengan ketara. Walaupun kajian itu di Australia, tetapi nilainya hampir sama dengan Kajian Morbiditi Kebangsaan di atas. Kajian kegemukan atas orang dewasa pula disokong oleh Dr Jade Spinosa (2019); menyatakan ramai gemuk adalah di kalangan bersosioekonomi yang rendah.

Panjang tulis ini nak kabo satu saja konklusi – Rakyat Malaysia tak perlu pun suplemen kecuali indikasi yang ditetapkan oleh doktor bertauliah. Semua kita sudah cukup zat makanan. Kalau nak ambil juga itu, memang orang berlebih duitnya. Satu pakej suplemen bukan harga sepinggan mee goreng, tapi mahal macam bedil.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 26/6/2020

- Advertisement -