Dibela manusia yang baik tanpa perkauman

KALAU ada yang terfikir Menteri Besar (MB) Kedah turun padang mendekati rakyat seperti sengaja dibuat-buat untuk raih sokongan, atau sekadar sandiwara yang bersifat sementara, fahamilah ini bukan baru bagi beliau.

Sebagai Pegawai Persatuan Pengguna Pulau Pinang, sebagai Pengarah PASRelief, beliau sudah lama aktif membantu mereka yang bermasalah termasuk mangsa bencana dalam dan luar negara yang jauh lebih dahsyat.

Kalau ada yang curiga soal pandangannya terhadap Rohingya, sudah bertahun-tahun beliau terlibat secara langsung membantu mereka secara dekat.

Daripada pengalaman itu, beliau punya pemahaman mengenai etnik Rohingya yang ternyata lebih daripada kita. Sebagai kelompok manusia, Rohingya juga ada yang baik, dan ada yang buruk. Macam kitalah juga!

Advertisement

Sudah tentu, yang dibela adalah yang baik, yang teraniaya, yang jadi mangsa dan amat-amat memerlukan pembelaan.

Yang sering jadi punca salah faham, bukan semua etnik Muslim dari Myanmar itu Rohingya. Ada juga warga Myanmar bukan-Islam yang pegang kad UNHCR berada di negara ini. Dari segi rupa, hampir sama dan sukar dibezakan oleh kita yang tidak mendekati mereka.

Etnik Kela (Muslim)! Misalnya, juga dari Myanmar. MB juga seperti kita, sayangkan negara dan orang-orang kita sendiri. Jadi berpada-padalah dalam mencurigai supaya kita terhindar daripada dosa memfitnah, untuk kebaikan kita sendiri juga.

Dulu, beliau semata-mata aktivis. Sekarang sebagai ketua kerajaan, dalam mengambil langkah tindakan, ada limitasi dalam pembahagian kuasa antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Ada yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut undang-undang. Sudah tentu, dalam apa jua tindakan, beliau akan utamakan rakyat Kedah yang 2.2 juta ini.

MUHAMAD MAT YAKIM
Setiausaha Akhbar
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 26/6/2020