Kitar semula k’jaan lama: Apa manfaatnya?

- Advertisement -

RASANYA perkara ini perlu ditegur. Perebutan kuasa elitis politik di negara kita sudah berlanjutan begitu parah sekali. Ia sudah tidak berlaku atas tujuan sepatutnya. Hanya demi nafsu semata-mata.

Perlu disedari, tujuan berpolitik adalah untuk mengurus kehidupan masyarakat. Jawatan pemimpin diwujudkan bertujuan agar masyarakat lebih tersusun dan mendapat hak mereka untuk hidup harmoni dalam sesebuah entiti.

Apabila berlaku kelemahan dalam sesebuah pentadbiran, kaedah pertama untuk menanganinya adalah rakyat membantu pemimpin dengan nasihat dan cadangan. Apabila ia sudah tidak berhasil, maka barulah menggunakan kaedah menukar pemimpin yang lebih baik.

Pergolakan politik di Malaysia awal tahun ini berlaku kerana perpecahan dalaman blok pemerintah sendiri yang menyaksikan Perdana Menteri meletak jawatan, Menteri dipecat dari parti dan persaingan kuasa di kalangan mereka. Naiknya Perdana Menteri baharu adalah kerana kekosongan yang ditinggalkan.

- Advertisement -

Selepas naiknya Perdana Menteri dan kepimpinan negara yang baharu awal Mac lalu, banyak masalah yang timbul dari pemerintahan lama dapat diselesaikan. Harga minyak berjaya diturunkan, bantuan dan subsidi berjaya dipulangkan, penularan COVID-19 berjaya dikekang, kepesatan kadar hutang negara berjaya diperlahankan dan pasaran saham berjaya dipulihkan.

Suara rakyat juga sentiasa didengari. Dulu rakyat bising isu moratarium kereta, kerajaan dengar. Timbul isu pelantikan Eric Paulsen, kerajaan akur. Kini rakyat bising isu TNB, kerajaan ambil tindakan. Sesuatu yang tidak pernah berlaku pada era kerajaan terdahulu bahkan sangat jarang berlaku dalam mana-mana kerajaan sekalipun.

Ini bermaksud, kepimpinan negara sedia ada berjaya menunjukkan prestasi lebih baik dari kerajaan sebelumnya. Walaupun banyak lagi yang belum berjaya dilakukan, setidaknya ia lebih baik.

Justeru apa tujuan usaha-usaha menggulingkan kembali kerajaan yang ada sekarang? Walaupun undang-undang mungkin membenarkan atas hak Ahli Dewan Rakyat memilih Perdana Menteri lain, namun adakah ianya perlu?

Tambahan pula, calon yang ingin dipilih bukanlah calon baharu yang boleh dipercayai bakal membawa negara ke prestasi lebih baik dari yang ada sekarang. Ia hanya calon kitar semula kerajaan pasca PRU14 lalu yang telah menimbulkan banyak polemik dan masalah terhadap negara sama ada di peringkat nasional mahupun internasional.

Ahli Parlimen perlu menyedari hakikat ini. Jangan kerana habuan yang ditawarkan, mereka sanggup melihat sekali lagi pergolakan politik yang menjejaskan ekonomi dan kestabilan sebagaimana yang pernah berlaku awal tahun lalu. Rakyat juga perlu membuka mata, jangan hanya kerana sokongan terhadap parti politik tertentu, kita hilang rasional dalam menyokong apa sahaja tindak tanduk pemimpin parti masing-masing.

Sedarlah. Politik bukan sekadar soal jawatan dan takhta. Ia adalah ruang untuk berkhidmat kepada rakyat. Kalau pun kita tidak menjadi pemimpin negara, ia tidak bermakna peranan terhadap rakyat tidak boleh dilakukan. Jadilah pembangkang yang sihat, mengkritik dengan tujuan membina, memberi solusi bukan sekadar membuat bising.

Sampai masa kita memilih kerajaan semula, pilihlah dalam pilihan raya nanti. Siapapun bebas untuk bertanding atas nama demokrasi. Namun buat masa sekarang, tiada alasan kukuh atas nama kesejahteraan rakyat untuk menukar balik kerajaan kepada pemimpin lama.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 25/6/2020

- Advertisement -