MENGIMBAU kembali kenangan bersama Pak Subky sewaktu menghadiri Bengkel Penulisan anjuran Jabatan Profesional Muda, DPPM. Beliau merupakan seorang bekas wartawan berpengalaman yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan akhbar Harakah.
Antara tips-tips beliau yang boleh dijadikan panduan:
Tips 1: Menulislah setiap hari
Bak kata pepatah Melayu ‘alah bisa tegal biasa’. Jika anda ingin mahir bermain bola sepak, selalulah berlatih bola sepak di padang. Samalah seperti dunia penulisan. Kemahiran menulis tidak akan turun dari langit. Bakat menulis perlu diasah setiap hari supaya tidak tumpul. Tulislah di mana-mana dengan mengaplikasi segala medium yang ada, seperti diari, blog, whatsapps, facebook dan lain-lain.
Tips 2: Gunakan bahasa senang difahami
Tulisan kita akan dibaca oleh seluruh lapisan masyarakat. Termasuklah kanak-kanak, orang tua, petani, driver lori, jurutera, doktor, sehinggalah ke tahap professor. Gaya penulisan kita perlu mudah diterima dan difahami oleh kelompok sasaran. Penulisan yang terlampau bombastik atau ‘ke langit’ akan menyebabkan pembaca sukar memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis.
Tips 3: Ada elemen kejutan
Penulisan akan menjadi lebih menarik sekiranya ada ‘suprising element’ di dalamnya. Sudah menjadi lumrah manusia tertarik kepada sesuatu yang unik. Misalnya, pasca Pilihan Raya Umum Amerika Syarikat baru-baru ini, populariti Donald Trump meningkat mendadak berbanding Hillary Clinton disebabkan oleh dasar-dasar yang diperkenalkan olehnya sangat agresif dan berani. Beliau berjanji akan menghapuskan TPPA sekiranya beliau dipilih menjadi Presiden. Tidak terkecuali pendirian beliau yang agak radikal dan berat sebelah terhadap umat Islam di Amerika menyebabkan nama beliau sering menjadi sebutan.
Tips 4: Carilah idea di mana-mana
Kadangkala idea tercetus secara tiba-tiba tanpa dirancang. Sama ada ketika bersembang dengan orang cerdik pandai, mahupun ketika sedang bersantai. Pak Subky pernah menceritakan ketika beliau ingin melintas jalan, beliau terpandang seekor cicak di tepi jalan berdekatan dengan tempat beliau sedang menunggu. Ketika itu kereta bersesak-sesak melalui jalan tersebut hingga Pak Subky tidak mampu untuk melintas. Tanpa disedari, cicak tersebut telah pun sampai di seberang jalan. Kagum dengan ciptaan Allah tersebut menyebabkan beliau menulis sebuah cerita mengenai kehebatan seekor cicak. Tentu menarik bukan!
Tips 5: Penceritaan yang ringkas dan padat
Penulisan yang baik ialah penulisan yang mampu menyampaikan mesej yang padat dan ringkas kepada pembaca. Ini kerana ada sebahagian pembaca yang tidak mempunyai banyak masa untuk membaca tulisan kita. Maka penggunaan perenggan amatlah penting di mana setiap perenggan mempunyai ‘point’ yang tersendiri. Sekiranya pembaca ingin berhenti seketika, maka mereka boleh berhenti pada perenggan yang mereka ingini.
Semoga beroleh manfaat!
FAIZ RAZALI
Kluster Kejuruteraan, JPro DPPM – HARAKAHDAILY 24/6/2020