22 bulan PH berbanding 100 hari PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bantahan pembentukan kerajaan baharu oleh Perikatan Nasional hanya berlaku sekali oleh ‘Mak Cik Super Ring’ berbanding hampir 22 bulan di bawah Pakatan Harapan menyaksikan negara seolah-olah hilang kedaulatan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, beliau menyangka bantahan di Dataran Merdeka tersebut akan menjadi gelombang, tetapi riak kecil atau menyusulnya siri BERSIH pun berlaku atau melibatkan ribuan orang.

Kata beliau, tiadanya himpunan bantahan di seluruh negara menunjukkan rakyat begitu tidak selesa terhadap Kerajaan PH, sebaliknya bersyukur dengan pertukaran kepada Kerajaan PN setelah segala yang berlaku dalam negara.

“Kita menyaksikan 22 bulan yang penuh dengan ketidaktentuan, 22 bulan seolah-olah hilang kedaulatan undang-undang. Bayangkan selepas Kabinet ditubuhkan, berlaku kejutan apabila seorang Menteri mengeluarkan pekeliling dalam bahasa Mandarin.

“Tidak pernah berlaku dan ianya jelas bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan. Kita melihat insiden demi insiden, bagaimana kita melihat tidak pernah berlaku dalam sejarah, ahli parti politik menahan kereta peronda polis untuk disiasat.

“Kita melihat penghinaan terhadap Islam berlaku begitu berleluasa dalam media sosial. Yang di-Pertuan Agong dan institusi istana dihina secara terbuka dalam media sosial seolah-olah negara ini tiada undang-undang yang dipertahankan,” kesalinya.

Selama 22 bulan juga kemukanya, tekanan berlaku secara begitu sistematik terhadap teras perlembagaan, antara yang besar ialah cubaan kerajaan untuk mengiktiraf ICERD di mana dibuat secara terancang oleh golongan anti Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan perkara itu nyatanya, menyebabkan rakyat bangkit di Dataran Merdeka menerusi himpunan 812 yang bersejarah mengumpulkan jutaan umat Islam-Melayu dari seluruh negara kerana mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga kupasnya, usaha ratifikasi Rom Statut adalah cubaan untuk menghapuskan hukuman bunuh, selain kaitan dengan teras perlembagaan di mana memberikan hak-hak tertentu kepada golongan Bumiputera majoriti yang membentuk negara ini.

Beliau juga membidas sikap kerajaan yang membiarkan penghinaan ke atas agama Islam, azan, tulisan Jawi, khutbah Jumaat dan lainnya secara terbuka hingga menyebabkan rakyat merasa begitu tertekan dan dikhianati lalu bangkit menyatakan bantahan.

“Rakyat menukar sebuah kerajaan yang rakus, biadab, mengancam Perlembagaan Negara, kepada sebuah kerajaan yang diurus dengan begitu baik, yang mana menjadikan agenda kebajikan rakyat sebagai keutamaan mereka.

“Kerajaan yang ada hari ini begitu fokus terhadap tujuan sebuah kerajaan yang ditubuhkan, iaitu untuk menguruskan sebuah negara dengan baik untuk membawa kemakmuran kepada negara,” ujarnya membayangkan kelegaan rakyat.

Kamaruzaman turut mengimbas kepincangan pentadbiran PH apabila membuat lantikan politik untuk mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berperanan menentukan integriti termasuk ke atas kerajaan.

Begitu juga bidasnya apabila Peguam Negara dilantik dalam kalangan individu yang tidak memiliki pengetahuan undang-undang Islam di mana sepatutnya memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong terhadap urusan berkaitan.

“Bagaimana kita lihat kes demi kes. Kes Adib ditutup dengan begitu sahaja, kes bekas Menteri Kewangan, SPRM pun terkejut kes digugurkan. Bagaimana ini berlaku menunjukkan bahawa kepincangan yang begitu dahsyat yang berlaku dalam pentadbiran negara.

Alhamdulillah, Kerajaan Perikatan Nasional hari ini melihat menyaksikan bahawa insiden-insiden yang begitu memalukan sebuah kerajaan ini telah diatasi dengan baik walaupun hanya baru 22, baru hanya 100 hari Kerajaan Perikatan Nasional.

“Kita pun melihat kajian yang dibuat oleh Research House di media sosial dan sebagainya yang menyaksikan kepuasan rakyat terhadap kepimpinan negara begitu baik. Rakyat begitu bersetuju dengan tindakan kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

“Rakyat begitu berpuas hati dengan tindakan kerajaan memberi bantuan demi bantuan untuk membantu rakyat menghadapi kemelesetan akibat daripada wabak COVID ini.

“Jadi ini menunjukkan bahawa hari ini insya-Allah 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan berbanding dengan 100 hari Kerajaan Perikatan Nasional, rakyat telah pun memberikan jawapannya insya-Allah,” ujarnya optimis. – HARAKAHDAILY 23/6/2020

- Advertisement -