Sikap sederhana dalam bermazhab

- Advertisement -

RAMAI yang bermazhab, tetapi tidak jelas mengapa dia bermazhab. Hingga terkadang terlihat muncul tanggapan seakan mazhab itu sebagai prinsip dalam beragama. Tujuan para ulamak terdahulu menyusun mazhab, adalah sebagai kemudahan bagi orang awam untuk melunasi komitmen agama.

Namun kerana terkeliru, menyebabkan hari ini persoalan-persoalan mazhab berubah menjadi modal untuk berkrisis pula. Jika dahulu, isu mazhab diuruskan dengan ilmu. Hujah dibalas dengan hujah dan masing-masing jelas ia masih dalam daerah perkara ijtihadiyyah.

Tetapi hari ini ia banyak dimainkan dengan sentimen. Emosi mendominasi akal fikiran. Sedangkan para ulamak mazhab terdahulu saling berkongsi rantaian ilmu antara satu sama lain. Mereka saling menghargai, merentasi mazhab. Barangkali polemik yang berlaku hari ini bermula dari niat menuntut ilmu kerana mahu bertanding meraih prestij, bukan untuk membudayakan ilmu yang menguntungkan umat.

- Advertisement -

Imam Ahmad Bin Hanbal merupakan anak murid kesayangan Imam Syafie di Baghdad. Imam Syafie pula berguru dengan Imam Malik dan Imam Syaibani, yang merupakan anak murid kepada Imam Abu Hanifah. Manakala Imam Malik berguru dengan salah seorang guru Imam Abu Hanifah yang bernama Imam Nafi’ Mawla Abdullah Bin Umar. Demikian sebagai contoh yang cukup menenangkan.

Semua imam-imam mazhab memiliki salasilah ilmu yang saling bersambung dan mereka tenang-tenang sahaja. Mereka fokus mencerahkan umat, bukan memeningkan umat. Jika kita benar-benar mengkaji ilmu perbandingan mazhab, kita akan merasai pandangan-pandangan mereka rasional belaka.

Dari sudut pemikiran, Mu’tazilah larut dengan metodologi teologi ala-ala Yunani. Setelah ia terus menular, Imam Asy’ari menyusun disiplin ilmu tauhid sebagai pencerahan dan disambung oleh Imam Maturidi. Dua tokoh tersebut membentuk aliran Khalafiyyah. Maka wacana menyanggahi Mu’tazilah berlangsung kira-kira 400 tahun.

Kemudian umat diserang Mongol, sementara itu masalah falsafah pemikiran ala-ala Mu’tazilah telah berjaya ditangani. Maka muncullah Imam Ibnu Taimiyyah dengan gagasan Salafiyyah yang cuba memudahkan kembali disiplin ilmu tauhid, supaya umat dapat fokus menentang penjajah.

Ternyata pembentukan mazhab-mazhab aqidah adalah untuk berinteraksi dengan krisis pemikiran umat. Hari ini pula, kita berdepan dengan ideologi-ideologi moden. Pernah dalam satu pertemuan beberapa tahun dahulu, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa bentuk ilmu kalam hari ini adalah menghadapi pergelutan ideologi-ideologi moden.

Namun kita masih terperangkap dalam kapsul masa lampau yang menyebabkan paradigma kita kekal sempit. Bukankah ada sejarah bahawa musuh mengeksploit polemik mazhab sebagai strategi untuk menguasai fokus umat? Bahkan ia masih diaplikasikan hingga ke hari ini. Justeru, bersederhanalah.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 20/6/2020

- Advertisement -