Penyokong PAS hadir beri sokongan

- Advertisement -

PEKAN: Penyokong PAS hadir ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N23 Chini bagi merasai suasana pilihan raya yang dijalankan semasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

- Advertisement -

Berkongsi perasaan dengan Harakahdaily, Mohd Rosli Halim, 59 daripada Maran berkata suasana penamaan calon suram tidak seperti hari penamaan calon sebelum ini.

“Biasanya pada hari penamaan calon, ada perarakan untuk calon, kiri kanan jalan penuh dengan bendera parti. Bila ada bendera dan keriuhan itu, kita secara tak langsung kita tahu wakil dari parti mana yang bertanding

“Begitu juga kedai-kedai makan pasti dipenuhi dengan penyokong parti.

“Tapi kali ini suasana amat berbeza, majoriti memahami SOP yang dijalankan,” katanya yang hadir ke pusat penamaan calon pada sejak 8.30 pagi tadi.

Beliau hadir bersama empat lagi temannya yang terdiri daripada Sheikh Abdul Halim, 54, dari Maran, Ustaz Shahrul Nizam, Dewan Ulama PAS Pahang dan Abdul Rahman dari Paya Besar.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Katanya, kesuraman pada hari penamaan calon N23 Chini mungkin disebabkan pematuhan SOP, justeru itu orang awam bimbang untuk keluar menyaksikan penamaan calon.

Difahamkan seramai 5,000 pengundi PAS di Dun Chini bakal membuang undi kepada calon Muafakat Nasional (MN) Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zin, 41.

Hari ini merupakan hari penamaan calon PRK N23 Chini yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini.

Waktu penamaan bermula pada jam 9 pagi tadi.

Seawal pagi tadi, pihak berkuasa melarang orang awam meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran IKBN.

Kawalan ketat anggota polis trafik dan anggota polis diadakan bertujuan mengawal kesesakan lalu lintas di samping memastikan supaya orang awam tidak berkumpul di hadapan pusat penamaan calon.

Sebagai memastikan SOP PKPP penjarakan sosial dipatuhi oleh semua pihak.- HARAKAHDAILY 20/6/2020

- Advertisement -