Bidasan Satees Muniandy terhadap Presiden PAS dijawab

- Advertisement -

KEADILAN dalam Islam mencakupi semua aspek meliputi sosial, undang-undang, politik budaya dan ekonomi. Keadilan Islam juga bersifat sejagat bukan hanya untuk orang Islam semata-mata tetapi meliputi seluruh manusia tanpa mengira keturunan warna kulit dan agama:

- Advertisement -

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum dan agama lain, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Umat Islam beriman dengan adanya tiga agama Samawi (agama yang turun melalui wahyu tuhan melalui perantaraan para Rasul) iaitu agama Yahudi, Nasrani dan Islam adapun selainnya adalah agama ciptaan manusia. Namun mereka (Yahudi dan Nasrani) mengubah agama mereka lalu menjadi sesat dan kafir:

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

“Maka kecelakaan yang besarlah bagi Yahudi dan Nasrani yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya; “Ini dari Allah”, (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang mereka kerjakan.”

(1) YB Satees Muniandy ADUN DAP Bagan dalam (MalaysiaKini) “Beliau (Hadi) tidak perlu menyatakan pun, bahawa “manakala sebaik-baik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada Hari Kiamat nanti”. Sebagai seorang ulamak, kita harap supaya Abdul Hadi menunjukkan contoh yang baik untuk mengeratkan hubungan di antara kaum dan agama di Malaysia”.

Jawapan saya:

Sebesar-besar nikmat yang Allah Ta’ala berikan kepada umat manusia adalah nikmat iman dan Islam. Tidak semua manusia diberi nikmat ini. Hanya mereka yang dikehendaki oleh Allah yang dapat menerima nur Ilahi tersebut. Bahkan seorang Nabi dan Rasul pun tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang dicintainya. Maka segala amal baik yang dilakukan oleh mereka yang tidak beriman sia-sia dan tidak diterima:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِيناً فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi…”

(ali-Imran: 85)

Demikian juga firman Allah:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاء مَّنثُوراً

“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan…”

(al-Furqan: 23)

Juga firman Allah:

وَالَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا وَلِقَاء الآخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلاَّ مَا كَانُواْ يَعْمَلُون

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan mendustakan akan menemui akhirat, sia-sialah perbuatan mereka. Mereka tidak diberi balasan selain dari apa yang telah mereka kerjakan…”

(al-A’raaf: 147)

(2) YB Satees Muniandy ADUN DAP Bagan dalam (MalaysiaKini) “Saya masih ingat pertemuan saya dengan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz di rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan. Allahyarham Tok Guru sangat mesra dengan kami, dan menyatakan, “Ini yang Umno takut; apabila orang bukan-Islam mendekati dan mengenali PAS.”

“Di zaman beliau, orang-orang bukan-Islam rasa begitu tertarik dengan cara pimpinannya. Malah apabila beliau meninggal dunia, ramai yang menitiskan air mata, kerana sayang kepada beliau.”

“Itulah pemimpin Islam yang begitu disenangi, disegani masyarakat bukan-Islam, yang tak pernah merendahkan masyarakat bukan-Islam dalam apa jua keadaan pun. Cukup berbeza cara Abdul Hadi sekarang.”

Jawapan saya:

Tiada suatu bukti pun yang dibawa oleh YB menunjukkan kebencian non-Muslim terhadap Tuan Guru Abdul Hadi Awang, melainkan cubaan YB memfitnah beliau dengan membandingkan beliau dengan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, saya tegaskan kami ahli PAS lebih mengenali dua tokoh ini. Walaupun ciri fizikal mereka berbeza tetapi ketegasan mereka pada prinsip Islam tetap sama. Bahkan PAS putus tahaluf bersama DAP ketika almarhum masih lagi hidup.

Saya ingin menasihati YB supaya memahami setiap ucapan berkaitan agama Islam melalui neraca yang betul dan orang yang memahami agama Islam yang sebenar dan bukannya melalui cermin dan kaca mata YB sendiri kerana ini menunjukkan YB belum lagi sebati dengan pegangan umat Islam di Malaysia dan jauhnya DAP terhadap orang Melayu Islam.

USTAZ ZUZALEE ARIFFIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan – HARAKAHDAILY 20/6/2020

- Advertisement -