Anak muda digalak ceburi sektor pertanian

- Advertisement -

BESUT: Anak muda digalakkan supaya tidak melepaskan peluang untuk bergerak aktif dalam sektor pertanian termasuk memelihara ikan kerapu hibrid.

Kerajaan Persekutuan telah menyediakan geran dan pinjaman sehingga RM200,000 bagi yang berminat dalam sektor tersebut.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, penternakan ikan kerapu hibrid telah mendapat tempat di hati masyarakat antarabangsa.

Katanya, ikan berkenaan boleh dijual sehingga mencecah RM75 sekilogram.

Menurutnya, Malaysia perlu mengeksport ikan tersebut pada skala yang lebih besar memandangkan ianya tidak mencukupi di pasaran global.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan pelepasan benih kerapu hibrid di Kampung Pengkalan Teras, Keluang, Besut semalam.

Dato’ Che Abdullah melepaskan anak ikan kerapu hibrid yang diusahakan Ustaz Nabil.

Projek berkenaan diusahakan penternak muda, Ustaz Nabil Deraman yang sebelum ini bergerak aktif dalam agensi pelancongan.

Katanya, anak muda perlu tanam dalam pemikiran mereka untuk mengeksport hasil yang diusahakan.

“Hasrat kerajaan supaya golongan muda dapat menceburi diri dalam sektor pertanian sehingga mampu untuk eksport produk mereka.

“Ikan kerapu mendapat sambutan yang tinggi di pasaran antarabangsa. Jadi saya cadangkan anak muda kita mengusahakan projek menternak ikan kerapu hibrid ini,” ujarnya.

Turut hadir pada program itu ialah ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim; wakil ADUN Kota Putera, Mohd Ridzuan Mat Yazid; Ketua Cawangan Akuakultur Negeri Terengganu, Rusman Rusdy, dan Ketua Jabatan Perikanan Malaysia Daerah Besut, Syukri Embong.- HARAKAHDAILY 20/6/2020

- Advertisement -