Review buku Tuan Guru Abdul Hadi Awang

- Advertisement -

KITA baru sahaja melalui bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk dan mukjizat sepanjang zaman sehingga hari kiamat. Al-Quran diturunkan sebagai suatu mukjizat yang menjadi petunjuk kepada seluruh manusia yang hidup pada akhir zaman.

- Advertisement -

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ…١٨٥

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil).” (Surah al-Baqarah: 185)

Sebagai Muslim, menjadi satu keutamaan untuk kita memahami isi kandungan al-Quran supaya diamalkan dalam kehidupan. Pelbagai bidang ilmu tentang politik, kemasyarakatan, ekonomi, ketamadunan dan sebagainya terdapat di dalam al-Quran. Terdapat pelbagai cara untuk kita memahami kandungan al-Quran ini, antaranya adalah dengan mempelajari tafsir, menelaah dan membaca tulisan-tulisan para ulama’ sama ada ayat-ayat al-Quran itu ditafsirkan dengan Ma’thur (melalui nas syara’) atau dengan Ra’yi (melalui ijtihad).

Buku terbaru oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berjudul Celupan Jarum Kecil di Lautan Ilmu Al-Quran ini menyentuh berkenaan dengan agama Islam sebagai asas dalam kehidupan manusia. Betapa pentingnya bagi seorang Muslim memahami Islam secara syumul dan jelas.

Pemahaman yang baik terhadap Islam akan menjadikan seseorang manusia itu mengetahui peranan hidupnya untuk agama, masyarakat dan negara. Manusia juga akan mengenal siapakah kawan dan musuhnya di dunia ini. Justeru pemahaman terhadap Islam itu menjadi tunjang keimanan seseorang Muslim.

Selain itu, penulis juga ingin mengetengahkan bahawa al-Quran ini merupakan mukjizat dan salah satunya adalah mukjizat ilmu yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW di akhir zaman.

“Al-Quran adalah kemuncak ilmu yang dikurniakan Allah kepada manusia dengan kadar yang cukup mengikut keperluan zaman, tempat dan keadaan.” (Petikan daripada buku Celupan Jarum Kecil di Lautan Ilmu al-Quran)

Terdapat satu tajuk kecil iaitu ‘Surah Al-Fatihah Kunci Ilmu Dunia Akhirat’ dalam salah satu bab di dalam buku ini yang agak menarik untuk dibaca. Penulis menyatakan bahawa surah ini istimewa sehingga diletakkan sebagai surah permulaan dalam al-Quran walaupun ianya bukan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Surah al-Fatihah mengandungi perkara-perkara asas bagi umat Islam iaitu iman, Islam dan ihsan ataupun dikenali sebagai ilmu aqidah, syariat dan akhlak. Surah al-Fatihah ini juga membahagikan manusia kepada tiga golongan.

Pertama: Kumpulan yang mendapat nikmat Allah SWT.

Kedua: Kumpulan yang dimurkai Allah.

Ketiga: Kumpulan yang sesat.

Jelaslah bahawa manusia memerlukan Allah SWT sebagai penolong dan al-Quran sebagai petunjuk agar manusia tidak tergolong dalam golongan yang dimurkai atau golongan yang sesat.

Buku ini sangat sesuai bagi mereka yang gemar akan bahan bacaan yang santai namun berisi. Buku ini dapat menyedarkan saya bahawa al-Quran itu bukan sekadar bacaan. Al-Quran juga mengajak manusia menjadikannya sebagai peringatan, penawar, petunjuk, dan rahmat yang membawa kebahagiaan hidup manusia.

Firman Allah SWT:

كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ مُبَٰرَكٞ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٩

“(Al-Quran) ini sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad) – Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah Sad: 29)

TASNEEM ZAINOL- HARAKAHDAILY 19/6/2020

- Advertisement -