Pop: Apabila Gerakan Islam terikut budaya luar

- Advertisement -

SEMAKIN terasing

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai masa depan gerakan Islam yang semakin rencam berhadapan dengan realiti anak muda hari ini. Saya pun sudah tidak tercari artikel-artikel itu. Siapa rajin boleh search sendiri.

Kerisauan ini berikutan gaya persembahan gerakan Islam di hadapan mata masyarakat masih lagi terikat dan didominasi oleh generasi X. Bukanlah nak salahkan mereka. Tetapi kita hari ini ‘kehausan’ generasi Y, apatah lagi generasi Z.

(2) Yang ingin saya suarakan ialah secara perlahan-lahan gerakan Islam itu semakin menuju ke era ‘keganjilan’ atau terasing. Terpisah daripada realiti dan terlalu tinggi terawang di udara.

- Advertisement -

Gerakan Islam bakal dilihat terasing. Benar sepertimana Hadis Nabi S.A.W;

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاء

“Permulaan Islam dalam keadaan asing dan Islam akan kembali asing sebagaimana permulaannya, maka beruntunglah orang yang asing.”

(Riwayat Imam Muslim)

(3) Kadangkala kita seronok mentertawakan musuh yang tersilap jalan. Semasa memandu gerakan ini, kita sibuk menoleh melihat kesesatan mereka, sedangkan kita tak sedar kenderaan kita semakin terbabas ke tepi.

Kita sibuk berbangga dengan himpunan-himpunan gergasi. Seolah-olah bilangan yang ramai itu menjadi kayu ukur dakwah kita sedangkan program-program kita hanya mengejar pop berbanding intinya.

(4) Syeikh Mustafa Masyhur menyatakan di dalam buku Jalan Dakwah Antara Keaslian dan Penyelewengan;

“Adapun panduan yang betul untuk mendapat kejayaan cemerlang di mana-mana negeri atau negara pun, ialah menghasilkan dan mengeluarkan manusia-manusia yang memiliki aqidah yang betul-betul memahami Islam mengikut sistem pendidikan yang baik untuk persediaan kepada jihad dan pengorbanan. Bukan hanya sekadar mengadakan perhimpunan dan perayaan dengan khemah-khemah besar yang diterangi cahaya berbagai lampu, gegak dengan tempek soraknya saja.”

Antara dakwah dan tarbiah

(1) Perkara asas yang perlu kita bezakan ialah antara skop dakwah dan tarbiah.

(a) Dalam dimensi dakwah memang kita dituntut untuk menyebarkan dakwah, seluas-luasnya tanpa mengira-ngira berapa orang yang telah menerima dakwah.

Nabi Nuh A.S menyampaikan dakwah selama umurnya 950 tahun, namun yang menerima dakwahnya hanya beberapa orang. Diceritakan yang bersama Baginda A.S di atas kapal seramai 40 orang.

Dalam dimensi dakwah, perlukan kepelbagaian, seni dan sebagainya tanpa melanggar prinsip atau melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama. Namun, matlamatnya perlu jelas, iaitu mengajak orang ke arah Islam, bukan ke arah kumpulan.

(b) Dimensi tarbiyyah pula agak berlainan. Berperanan untuk mengkaderkan ahli-ahli gerakan Islam, melahirkan generasi yang akan menegakkan Islam, mempunyai kefahaman yang jelas.

Lihatlah bagaimana Nabi S.A.W melahirkan generasi Sahabat R.A yang sanggup berkorban apa sahaja untuk Islam. Dimensi ini perlu fokus kepada kefahaman yang jelas, dan matlamat yang jelas iaitu melahirkan generasi penegak agama.

Dalam dimensi ini juga tidak mengira-ngira berapa orang yang telah aku kaderkan. Akan tetapi yang dipersoalkan, apa yang aku kaderkan. Sebab itulah kejelasan matlamat perjuangan itu sangat perlu.

(2) Yang menjadi masalah pada hari ini, seolah-olah anak-anak muda semuanya perlu didakwahkan, sedangkan yang penting juga adalah tarbiah. Perlu difahamkan dengan ilmu, bukan gorengan.

Yang menjadi masalah juga apabila anak-anak muda didakwahkan bukan ke arah Islam. Tetapi ke arah sesuatu kumpulan. Program-program dakwah pula dijadikan medan untuk menaikkan rating seseorang.

Mengejar bilangan

(1) Kita kadangkala terpesona dengan bilangan. Menganggap bilangan itulah segala-galanya. Mungkin terlupa dengan Firman Allah S.W.T yang menceritakan faktor kekalahan Islam dalam Perang Hunain:

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan Perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

(at-Taubah: 25)

(2) Tuan Guru Nik Abdul Aziz menceritakan sejarah Perang Hunain di dalam buku yang bertajuk ‘Tegas Terhadap Musuh’:

“Sejarah Perang Hunain memperlihatkan suatu peristiwa yang mendedahkan sikap sebahagian orang-orang Mukmin yang telah tersilap perhitungan apabila mereka bergantung harapan kepada jumlah yang besar di kalangan tentera Islam. Sehingga sebahagian mereka menyangka kemenangan akan mudah dicapai. Tetapi ternyata mereka menjadi kucar-kacir di babak awal peperangan Hunain.”

(3) Hari ini kita seolah ‘dipaksa’ untuk mengejar bilangan. Anak muda sanggup menjatuhkan maruah dengan bertiktok semata-mata mendapat likers. Youtuber pula mengejar viewers.

Kalau yang berbisnes melalui Youtube, bilangan yang ramai itu menguntungkan dan dapat pulangan duit. Mungkin itu logiknya mereka mengejar bilangan, sekalipun dengan menjatuhkan maruah.

Perlukah ahli gerakan Islam juga berebut-rebut untuk menjuarai medan viewers dan likers terbanyak? Atas alasan dakwah? Bilangan yang ramai menjadi kayu ukur ketepatan dasar perjuangan kita?

Teguran Syeikh Mustafa Masyhur

(1) Dalam perbincangan mengenai ‘kuantiti’, Syeikh Mustafa Masyhur menceritakan mengenai budaya terikut-ikut dengan cara-cara parti politik;

“Ini bererti unsur politik dapat menguasai kaedah amal di mana unsur tersebut telah menguasai pendidikan, sebaran dakwah dan jihad, mengutamakan kuantiti bukan nilai atau kualitinya, seperti kaedah parti-parti politik di mana tujuan mereka hanya untuk mendapatkan sebanyak mungkin bilangan suara dalam pilihan raya, atau ramai orang dalam tunjuk perasaan atau demonstrasi anjuran mereka dan seumpamanya.”

“Ini tidak syak lagi merupakan penyelewengan yang merbahaya kepada asas atau tapak bangunan yang akan didirikan. Bukanlah tujuan kita untuk mencari orang-orang yang hanya memberikan kita suara atau undi dalam pilihan raya tetapi tujuan asal kita ialah mendapatkan orang yang sanggup memberikan diri dan hartanya pada jalan Allah.”

“Kita mencari peminat-peminat akhirat bukan peminat-peminat kuasa dan pangkat keduniaan seperti yang berlaku sekarang dalam parti-parti politik. Kita mahu oran-orang yang menunaikan amanah hukum Islam dengan sifat wara’ dan kezuhudannya, bukan mereka yang diubah-ubahkan oleh kerusi pilihan raya hingga mereka lupa apa yang pernah mereka laungkan dulu dengan pelbagai slogan dan penuh semangat.”

(2) Ada yang menganggap persaingan maya adalah dengan menjuarai trending. Bila masyarakat minat PS5, kita juga cuba menjelmakan PS5 atas alasan untuk menarik mad’u.

Soalannya, apa yang Allah suruh kita buat? Melahirkan orang yang mempunyai kefahaman Islam dan kekuatan aqidah walaupun bilangan yang sedikit, atau mencari pengikut yang ramai sekalipun jahil daripada agama?

(3) Masyarakat perlu didik dengan ilmu. Bukannya dididik dengan sesuatu yang ‘best’. Ini kerana bukan semua yang bersifat ilmu itu best dan banyak juga benda yang tak best pada ilmu.

Saya tidak hairan kalau orang-orang awam mengambil sikap mengejar bilangan melalui ‘labunan’ [2] nya di dalam Youtube. Yang peliknya kita juga seolah-olah mesti mengikut jejak langkah itu.

Perlukan ilmu, bukan gorengan

(1) Masa depan gerakan Islam yang dirasakan semakin jauh daripada realiti bukanlah bermaksud perlu menjadikan gerakan Islam itu sebagai kelab yang mencari keseronokan atau meluangkan masa.

Gerakan Islam adalah satu kewajipan, bukan untuk berseronok tetapi untuk berduka dan bergembira. Bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi ia adalah satu tuntutan untuk kerahan keringat.

(2) Ringkasnya, yang menjadi masalah ialah apabila agenda dakwah terasing daripada dimensi ilmu. Sedangkan yang kita nak sampaikan sepatutnya ilmu, bukannya keseronokan semata-mata.

Maka, program-program dakwah kita terisi dengan keseronokan semata-mata. Manakala isi Islam yang sepatutnya disampaikan, dikesampingkan. Maka orang bersama kita hanya untuk seronok bukan untuk fahami Islam.

(3) Apa yang memelihara survival ialah ilmu. Bukannya semangat waja semata-mata kerana semangat itu sekejap berkobar, lama-lama pancit jua. Manakala kefahaman itu kekal berterusan selagi tidak nyanyuk.

Ahli gerakan Islam perlu dibudayakan dengan ilmu. Program tarbiyah juga mestilah mengikut silibusnya, bukan hanya gorengan atau dijadikan medan mengangkat diri.

(4) Antara yang disebut oleh Syeikh Musfata Masyhur mengenai kecuaian terhadap tarbiyyah;

“Usrah diubah menjadi kelas kewartawanan, semata-mata untuk mengetahui bukan mengasah bakat, pembentukan peribadi dan membina akhlak. Pada umumnya penyelewengan berlaku dengan menukarkan cara-cara tarbiyyah menjadi semacam tempat menonjol-nonjol diri sama ada dalam usrah, dalam katibah (pasukan) dalam rehlah atau dalam tempat latihan.”

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/6/2020

- Advertisement -