KUALA LUMPUR: Ketegangan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) semakin menjadi-jadi ekoran pemimpin mereka saling berbalah antara satu sama lain.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhtar Suhaili berkata mereka saling bercakaran dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari PH.
Terbaru, Setiausaha Politik Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dikecam Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Khalid Samad kerana Farhash mempersoalkan kesetiaan PAN dan DAP terhadap Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ia susulan Farhash menegur Setiausaha Organisasi DAP Antony Loke yang menuntut PKR menyatakan pendirian tegas mengenai kerjasama PH dengan bekas Perdana Menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam misi mendapatkan kembali Putrajaya.
Ulas Muhtar, umum sedia maklum PAN dan DAP sentiasa bersama seolah-olah memaksa PKR untuk menerima Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Muhtar menasihatkan PH berhenti mengheret negara ke kancah politik yang tidak berkesudahan dan diminta tidak menganggu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga habis penggal ini.
“Saya melihat bahawasanya rakyat juga selesa dengan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk itu PN perlu diberi peluang untuk memerintah sehingga pilihan raya umum yang akan datang tanpa diganggu oleh ‘politik king’ yang terlalu banyak oleh PH,” katanya.
Beliau menambah, PH juga tidak mempunyai bilangan sokongan ahli parlimen yang mencukupi sekiranya mereka bertegas untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Muhtar menyifatkan PH terlalu banyak bermain dengan propaganda dan sentimen cubaan memberikan imej buruk kepada PN.
“Saya yakin dan percaya rakyat melihat bahawasanya kerajaan PN adalah kerajaan yang prihatin kepada rakyat mampu melaksanakan semua usaha-usaha.
“Ini termasuklah usaha seperti pakej rangsangan ekonomi untuk membina semula ekonomi seperti Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Ia bagi memastikan negara kita ini kembali ke landasannya dari sudut ekonomi sudah terjejas akibat daripada Covid-19 ini.” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2020