PKP tidak halang pemain KUFC dibayar gaji

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketika banyak pasukan bola sepak berdepan dengan kekangan hutang bagi membayar gaji pemain, sebaliknya pemain Kelantan United FC (KUFC) masih menerima gaji bulanan.

Seramai 28 pemain kelab itu yang pernah muncul juara Liga M3 2019 masih dibayar gaji sehingga sekarang.

Anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihak pengurusan KUFC membayar gaji pemain biarpun tiada perlawanan bola sepak sehingga sekarang akibat wabak Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, setiap bulan sebanyak RM200,000 diperuntukan bagi membayar gaji pemain dan kakitangan pengurusan kelab berkenaan.

“Biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lepas namun gaji pemain tetap dibayar.

“Kalau diambil kira perlawanan bola sepak kemungkinan dibenarkan tanpa penonton pada September depan, ini bermakna enam bulan pemain dibayar gaji tanpa perlu beraksi di padang,” katanya di sini semalam.

Menurutnya juga, usaha itu dilakukan hasil dukungan padu pihak penaja termasuk MySport, U-Shop, Jaya Emas dan Konsortium E-Mutiara serta kutipan dana yang diadakan sebelum ini
KUFC juga memiliki pemain import menjadi pasukan kedua di Kelantan selepas The Red Warriors yang dimiliki Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) beraksi pada Liga Premier tahun ini.

Sebaliknya KAFA difahamkan berdepan tunggakan hutang sehingga RM4 juta.- HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -