PH Plus rebut jawatan PM, tetapi kelayakan tiada

pm
- Advertisement -

SEDANG kita sibuk menghadapi PKPP dan rakyat serta kerajaan memberi fokus pada pembinaan semula negara yang terganggu akibat serangan COVID-19 tempoh hari, puak-puak kecewa dari PH dan kumpulan Tun sibuk dengan angan-angan mereka merampas kembali kuasa dan menaikkan PM baru.

Ternyata trauma hilang kuasa angkara tindakan gelojoh Tun meletak jawatan PM pada 24 Februari lalu terus menghantui jiwa mereka.

Sikap tidak dapat menerima kenyataan itu mendorong pula mereka untuk mengada-adakan sesuatu yang tiada, demi menyedapkan nafsu masing-masing direka-reka cerita kononnya mereka kini sudah punya cukup bilangan MP untuk merobohkan Kerajaan PN dan mengembalikan kuasa pada PH.

- Advertisement -

Dari hari ke hari itulah yang mereka ratib dan canangkan bagaikan orang tidak berakal keluar masuk berita sedang rakyat semakin mantap menyokong Kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin sebagai PM.

Terbaru mereka berebut jawatan calon PM secara terbuka pula. Khabarnya sebelum ini Anwar telah meyakinkan PH bahawa beliaulah calon PM. Dan apabila berunding dengan blok Tun yang punya 5 kerusi dan WARISAN yang punya 9 kerusi diminta supaya Tun dan WARISAN menerima cadangan itu.

Rupanya Tun dan WARISAN punya cadangan sendiri. Mereka mahukan Tun sebagai PM mungkin sehingga 6 bulan jika tidak mereka tidak akan sokong usaha menggulingkan PN.

Tanpa sokongan Tun dan WARISAN PH jikalah cukup bilangan sokongan tidak dapat berkuasa semula.

Lebih malang apabila mendengar cadangan itu DAP dan PAN telah menyokong cadangan Tun itu atas alasan hanya melalui ketokohan Tun baru misi mereka akan berjaya.

Anwar berang dan pimpinan PKR marah-marah. Bayangkan rakan sendiri menolaknya dan bersetuju untuk angkat Tun. Anwar dianggap tidak layak sebagai calon PM oleh DAP, PAN, WARISAN dan Tun. Kini masing-masing bersengketa dan serang-menyerang secara terbuka.

Soalnya berapakah bilangan kerusi yang ada dalam tangan? Kalau tidak mencecah 112 jangankan Anwar, Tun dan Mat Jenin mana sekalipun semua tidak layak menuntut jawatan PM itu.

Kerana itulah rakyat sukar mempercayai PH lagi. Mereka lebih pentingkan pangkat dan jawatan dan acapkali berbalah sesama sendiri, bagaimana negara mahu bergerak ke hadapan di tangan mereka?

Kepada saki-baki MP yang masih bergayut bawah payung PH Plus yang semakin bocor itu, cukup-cukuplah dan insaflah melihat apa yang sedang berlaku dalam keluarga anda yang kucar-kacir itu.

Tinggalkan sahaja PH yang berserabut itu dan ayuh melangkah bersama rakyat melalui PN yang jelas mampu membela dan mempertahankan nasib rakyat dan kedaulatan negara.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -