Persaingan antara Dunia Islam dalam pasaran ideologi

- Advertisement -

PERTEMBUNGAN era baru

(1) Kalau dahulu kita menyaksikan bagaimana sejarah Umat Islam bergaduh sesama sendiri, sama ada faktor dalaman, atau bisikan musuh. Banyak contoh yang boleh dikemukakan, dan banyak juga yang telah saya selitkan dalam artikel-artikel sebelum ini.

Pertembungan sesama umat Islam hari ini juga dilihat agak berselirat, masing-masing mengejar kepentingan masing-masing. Mereka yang malas mengkaji, biasanya akan telan bulat-bulat apa yang telah disajikan di hadapan mata tanpa berfikir panjang.

(2) Perkara yang perlu kita sedar, bahawa al-Quran berkali-kali menyuruh supaya umat Islam bersatu. Nabi S.A.W menegaskan supaya jangan berjuang atas dasar sentimen, atau kepuakan. Nabi S.A.W bersabda;

- Advertisement -

Nabi S.A.W mengenai larangan asabiyyah;

ليس منا من دعا الى عصبية، وليس منا من قاتل على عصبية، وليس منا من مات على عصبية

“Bukan dari kalangan kami mereka yang menyeru kepada semangat ketaksuban, dan bukan dari kalangan kami orang yang berjuang di atas semangat ketaksuban, dan bukan dari kalangan kita orang yang mati atas dasar ketaksuban.”

(Riwayat Abu Daud)

(3) Namun umat Islam hari ini terus bersengketa sesama sendiri, tanpa menghiraukan al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. Yang penting, masing-masing perlu menjaga blok masing-masing untuk terus untung sekalipun bersikap pragmatis. Dahulu dan sekarang.

Kalau dahulu, pertembungan antara Abbasiah dan Umawiyyah yang berakhir dengan kejatuhan Baghdad pada 1258. Antara lain pertembungan antara Uthmaniah dan Mesir 1839. Pertembungan Syariff Hussin dan Bani Sa’ud dan banyak lagi.

(4) Manakala pertembungan pada hari ini lebih kepada ‘susun atur’ oleh Barat antaranya pertembungan antara Fundamentalis dan Tradisionalis, pertembungan ideologi dan mazhab, soft power, kepentingan geopolitik dan banyak lagi yang agak berselirat.

Malaysia yang merupakan negara majoritinya adalah umat Islam, tidak dapat elak daripada terkesan dengan persaingan di peringkat Antarabangsa sesama umat Islam ini. Masing-masing memperkenalkan soft power masing-masing untuk menjadi dominan dalam Dunia Islam.

Dua pertembungan blok Islam

(1) Secara ringkasnya, saya boleh simpulkan ada dua jenis pertembungan:

(a) Pertembungan antara blok Israel (Amerika) dan blok Anti-Israel.

(b) Pertembungan antara negara-negara yang berada dalam blok Pro Amerika atau Israel.

Sebagai muqaddimah, kita perlu jelas bahawa saya tidak membincangkan kisah silam atau sejarah dahulu kala. Ini kerana pertembungan hari ini tak sama dengan pertembungan dahulu. Bahkan banyak juga beza dan strateginya.

(2) Pertembungan antara blok Pro AS atau Israel dan blok Anti Israel perlu dimulakan dengan memahami pakatan Sunni-Israel pada 2006, khususnya berikutan pertembungan Israel-Lubnan. Lubnan dimenangi oleh blok Iran, yang kemudian memberi kesan kepada dasar luar AS di rantau Asia Barat.

Manakala pertembungan antara negara-negara dalam blok Pro AS atau Israel juga agak hangat juga. Negara-negara Islam yang berada di blok Pro AS atau Israel (Barat) atau agak intim ialah Mesir, Arab Saudi, UAE, Qatar dan sebagainya. Turut bersaing sesama sendiri dalam diam.

(3) Turki pula dilihat semakin jauh dari dunia Barat, tetapi dalam masa yang sama bertembung dengan Syria pada hari ini berkaitan sempadannya. Syria sama seperti Lubnan dan Iran, yang disokong oleh Russia.

Namun, pada hari ini Turki dilihat sebagai pengacau utama agenda UAE yang cuba mendominasi Dunia Islam yang selama ini dilihat diterajui oleh Arab Saudi dalam blok Pro AS atau Israel. Insya-Allah hal ini akan diulas selepas ini.

(4) Untuk memahami krisis ini, kita perlu ‘gostan’ sedikit mengenai krisis pasca 11 September 2001. Iaitu ketika Amerika sedang seronok menghidangkan Islamophobia ke seluruh alam. Namun, kemunculan ‘Sufisme’ ketika itu dilihat agak menguntungkan Amerika.

Hal ini berikutan Program Keselamatan Antarabangsa di bawah kelolaan Nixon Center yang menganjurkan persidangan di Washington pada 24 Oktober 2003, bagi mengupas peranan yang dimainkan oleh Sufisme berkaitan matlamat dasar luar Amerika. [1]

Pakatan Sunni-Israel 2006

(1) Martin Indyk, bekas duta AS ke Israel yang kini felo di badan pemikir berpengaruh Institusi Brookings, mencadangkan satu pakatan melibatkan negara-negara Sunni dengan Israel, sebagai satu usaha menangani pengaruh Iran. [2]

Antara yang dikatakan oleh Martin Indyk yang disiarkan pada 28 Ogos 2006 [2];

“On the other hand, to paraphrase von Clausewitz, the question is who manages to turn the results on the battlefield into political gains, and there I’m a bit more optimistic. The campaign in Lebanon highlighted the dangers facing the Sunni Arab world from the Iranian-led Shia axis, from Iran to Iraq – which has a Shi’ite-dominated government – to the minority Alawite regime in Syria and Hezbollah in Lebanon. That actually provides a common interest to the Sunni Arab world and Israel.”

Antara yang disiarkan dalam New Yorker bertarikh 26 Februari 2007 [3];

“To undermine Iran, which is predominantly Shiite, the Bush Administration has decided, in effect, to reconfigure its priorities in the Middle East. In Lebanon, the Administration has coöperated with Saudi Arabia’s government, which is Sunni, in clandestine operations that are intended to weaken Hezbollah, the Shiite organization that is backed by Iran. The U.S. has also taken part in clandestine operations aimed at Iran and its ally Syria. A by-product of these activities has been the bolstering of Sunni extremist groups that espouse a militant vision of Islam and are hostile to America and sympathetic to Al Qaeda.”

(3) Banyak lagi sumber yang turut mengulas mengenai realiti hubungan antara negara-negara Sunni dan Israel, antaranya belfcenter.org bertarikh 29 Mac 2007 [4];

“For the first time in the Middle East, there is now an organic and parallel common interest between Israel and Sunni Arabs. They now need each other to balance and combat Iran’s increased power and clout in the region. Could this shared interest become an opportunity to finally enhance the chances of a lasting peace in the area? Such an opportunity is now here and may be a solution for the political impasse.”

(4) Seorang wartawan pro-Israel di AS, Jeffrey Goldberg, penulis di majalah The Atlantic isu Julai atau Ogos 2009 menyuarakan pemerhatiannya dalam satu tulisan yang panjang bahawa rejim-rejim Arab ketika itu kelihatan lebih bersikap kritikal terhadap Iran, berbanding Israel sendiri.

Antara yang dikatakan dalam tulisan pada 2009 itu [5];

“Bahawa Iran mewakili ancaman sebenar kepada Israel, dan oleh itu masuk akal bagi Israel untuk berdamai dengan Palestin dan sekutu Arab mereka untuk menghadapi ancaman bersama Iran.”

Persaingan negara-negara Sunni

(1) Pasca Revolusi Arab 2011 menyaksikan keruntuhan dunia-dunia Arab, bergolak hingga ke hari ini, khususnya negara-negara yang berada dalam blok Anti-Israel, terutamanya Syria. Hasil penggulingan Hosni Mubarak, sedikit sebanyak menguntungkan Gerakan Islam Ikhwan Muslimin di Mesir.

Manakala UAE pula khususnya bersikap anti-Ikhwan, lalu mula memperkasakan dasar luar mereka untuk menghapuskan pengaruh Ikhwan di dunia Arab, khususnya Mesir. Manakala negara yang agak intim dengan Ikhwan ialah Qatar.

Apatah lagi pada 2013 Morsi digulingkan kerana membahayakan negara Arab, apatah lagi membahayakan pengaruh Barat. Kejayaan menggulingkan Presiden Morsi ini mendapat sokongan UAE dan Arab Saudi dan turut menawarkan ‘hadiah’ USD3 bilion dan USD5 bilion. [6]

(2) Arab Saudi sejak sekian lama agak berpengaruh dalam dunia Arab atau lebih dikenali sebagai Sunni yang berpakat dengan Israel sepertimana yang diceritakan tadi. Sejak 2014, UAE mula menampakkan kelebihan mereka untuk mendominasi Dunia Islam.

Pada Ogos 2016 telah berlangsungnya persidangan Grozny di Chechnya yang ‘mengheret’ kepada isu Anti-Wahhabi. Secara zahirnya, persidangan yang dianjurkan oleh UAE, Chechnya dan Mesir ini bertujuan mengurangkan pengaruh Arab Saudi dalam Dunia Islam.

Hasil persidangan tersebut memutuskan supaya aliran Wahhabi-Salafi terkeluar daripada Sunni [7]. Hal ini mengundang kemarahan Arab Saudi khususnya yang turut tidak mendapat jemputan untuk hadir dalam persidangan yang melibatkan 200 negara umat Islam.

(3) Setelah ‘mencemarkan’ pengaruh Arab Saudi sejak 2016 dengan memasarkan anti-Wahhabi, negara-negara Sunni yang berada dalam blok Pro AS atau Israel mula menyingkirkan Qatar pula yang selama ini dilihat agak mesra dengan gerakan-gerakan Islam.

Penyingkiran ini dibuat pada 2017 oleh beberapa negara seperti Arab Saudi, UAE, Bahrain dan sebagainya. Lalu Turki mula mengambil tindakan proaktif untuk mengadakan persefahaman dengan Qatar dalam beberapa bab, termasuk juga Iran.

Kesimpulan

(1) Secara ringkasnya, negara-negara Arab atau negara-negara Islam dipecahkan dengan menghidupkan sentimen anti-Syiah yang pastinya melalui kempen-kempen oleh Barat khususnya pasca 11 September 2001.

Setelah negara Islam berpecah atas sebab sentimen yang ditelan bulat-bulat daripada Barat, negara-negara yang bersama blok Pro AS atau Israel pula bersaing sesama sendiri untuk mendominasi Dunia Islam. Berpecah sekali lagi disebabkan kempen anti-Wahhabi dan juga Sufisme.

(2) Begitulah secara ringkasnya perpecahan dalam Dunia Islam pada hari ini. Masing-masing berebut kepentingan. Contohnya krisis Yaman pada penghujung 2013, hasil kemungkinan persefahaman antara pihak berkepentingan termasuk Arab Saudi, Emiriyah dan Iran.

Ketiga-tiga negara berebut kepentingan di situ. Houthi ketika itu bertindak menghapuskan penguasaan Ikhwan Yaman yang disokong Qatar dan juga Turki. Namun di penghujung krisis ini dilihat ‘dimenangi’ oleh Iran pada awal tahun ini (2020).

(3) UAE dan Mesir secara kasarnya dilihat cuba menjuarai Dunia Islam dengan menggunakan Soft Power melalui gerakan Sufism, yang pastinya menguntungkan Amerika. Arab Saudi agak tergugat pengaruhnya setelah mana UAE memasarkan kempen anti-Wahhabi.

Kempen anti-Wahhabi ini dikaitkan dengan gerakan-gerakan Islam. Umat Islam dihidangkan dengan Sufism iaitu pembentukan rohani yang mengabaikan politik (Sekular). Kalau diikutkan, Gulen di Turki juga memasarkan Sufism, namun terhalang oleh Erdogan.

(4) Yang tegas menentang Israel hari ini ialah kelompok Syiah di Iraq, Iran, Syria Lubnan dan sealiran dengannya. Negara-negara Sunni sudahlah berpakat dengan Israel, bersaing pula sesama sendiri untuk mendominasi suara Islam.

Apa yang terhidang di hadapan mata kita di Malaysia hari ini ialah Sufism yang banyak ditaja oleh UAE melalui Tabah Foundation. Dalam masa yang sama kita dihidangkan dengan kempen anti-Wahhabi oleh UAE bagi mengurangkan pengaruh Arab Saudi.

[1] pm saya untuk dapatkan pdf

[2] https://www.haaretz.com/1.4863414

[3] https://www.newyorker.com/magazine/2007/03/05/the-redirection

[4] https://www.belfercenter.org/publication/emerging-sunni-israeli-alliance-holds-hope-mideast-peace

[5] https://www.theatlantic.com/magazine/archive/2009/07/how-iran-could-save-the-middle-east/307502/

[6] https://www.reuters.com/article/us-egypt-protests-loan/uae-offers-egypt-3-billion-support-saudis-5-billion-idUSBRE9680H020130709

[7] http://www.asianews.it/news-en/Conference-in-Grozny:-Wahhabism-exclusion-from-the-Sunni-community-provokes-Riyadh%E2%80%99s-wrath-38502.html

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -