Perihal bil melambung dan bil penyebab dosa

- Advertisement -

SETELAH gembira meraikan hampir habis COVID-19, timbul pula duka isu berkenaan bil utiliti yang dikatakan sebagai melambung tinggi, membebankan pengguna. Begitu, begini kisah yang berlegar mengenai bil ini. Paling banyak ialah menyalahkan TNB dan syarikat utiliti yang lain. Tidak kurang juga menuding jari kepada pengguna yang diketahui tinggal di rumah dan menggunakan fasiliti itu sepanjang beberapa siri PKP lalu.

Pengguna mendakwa TNB membuat kiraan yang tidak sepatutnya. Mengira dengan memasukkan semua blok dalam satu kiraan, menyebabkan hitungan menjadi semakin besar. Sedangkan kata mereka TNB sepatutnya mengasingkan blok-blok supaya kiraan tidak akan memasuki blok lain yang memberikan jumlah yang lebih mahal.

TNB pula menjelaskan kiraan mereka sudah benar. Dilakukan penerangan bagi penjelasan yang paling baik, agar difahami oleh sekalian orang. Ada tuduhan mengatakan, walaupun kiraan TNB benar, tetapi masih ada kesilapan mengira. Terjadi kepada beberapa orang yang tidak menggunakannya, tetapi bilnya tetap mencanak. Lalu TNB menjawab, tanpa menafikan kemungkinan kesilapan itu. Laporkan jika ada salah kira. Seru mereka.

- Advertisement -

Mengadu mereka kepada politikus. Ada yang sanggup memberikan ruang penjelasan supaya masalah terungkai. Ada pula lebih suka ia diserahkan kepada peringkat atasan untuk diputuskan, kerana tidak mahu menjadi orang tengah bagi sesuatu yang tiada berkeputusan. Hiruk-pikuk netizen mengamuk, marah kepada TNB. Yang membela TNB juga tidak sedikit. Anda rasa, siapa yang benar, siapa yang salah?

Saya tidak tahu siapa yang benar. Jadi saya melihat dari sudut lain. Macam-macam dikata netizen. Apabila ia sudah memasuki kepada makian, cacian, mengeluarkan kepada fokus perbincangan, maka saya lebih suka mengatakan ia sudah dipengaruhi oleh sesuatu lain. Bukan netizen sahaja yang memaki. Yang menyokong TNB juga tidak mudah juga bahasanya. Masing-masing bersilat dengan buah masing-masing. Harap jangan dilupa RBA ramai berkeliaran di Facebook, menambah racun perkelahian.

Saya tidak melihat pula ada pimpinan PH yang cuba menjadi wira dalam isu ini. Maaf benar-benar tidak masuk dalam radar saya ada pimpinan PH yang menyalahkan TNB dalam hal ini. Pastinya mereka akan salahkan TNB untuk dilihat menyebelahi rakyat, ‘mileage’ politik mesti diraih. Apatah lagi dalam keadaan kegawatan dalaman mereka yang masih terkial-kial mencari siapa akan jadi PM, walaupun jumlah kerusi tak cukup. Gila betul.

Yang saya lihat ada pengguna Facebook yang asli marahkan TNB, ada juga pengguna Facebook palsu yang menyamar, menumpang menangguk di air yang keruh. Kenapa pimpinan PH diam? Menyokong TNBkah mereka? Pada pendapat saya, mereka bukan menyokong TNB, tetapi mereka melihat isu ini seperti perangkap yang membahayakan mereka. Oleh itu, mereka menunggu sahaja.

Jika mereka menyokong rakyat dan mendesak TNB untuk menurunkan bil, tiba-tiba kerajaan benar-benar menurunkannya, maka yang mendapat faedah ialah kerajaan. Sudahlah dakwaan DS Najib kepada PH menganiaya TNB masih belum terjawab. Nama baik kerajaan semakin bersinar kerana setelah berjaya melepasi halangan COVID-19 dengan jayanya, PN kini bersikap murah hati lagi dengan rakyat, menurunkan bil melambung itu. Maka terloponglah PH.

Buktinya taktik ini menjadi ialah lantikan politik oleh Menteri PN terhadap seorang yang bernama Eric Paulsen telah ditarik balik hasil desakan kuat oleh rakyat yang cintakan Islam, diketuai oleh PAS. PAS tanpa berlengah, tanpa takut, terus berkempen agar orang yang tidak tahu diuntung itu, dipastikan keluar dari kerajaan. Kerajaan kemudian dilihat sebagai berhati mulia kerana mendengar desakan rakyat itu. PAS juga mendapat nama.

Namun PH, mereka tidak boleh berkata apa-apa kerana di zaman mereka si Eric ini menyokong mereka. Kalau mahu didesak keluar, nanti makan kawan. Kalau mahu berdiam, orang nampak PH menyokong sikap Eric itu terhadap Islam. Sudahlah tempelan mereka sebagai khadam DAP masih belum dapat ditanggal, nanti ada pula gelaran baru yang akan mereka dapat.

Bil penyebab dosa

Dua hari lalu, saya menerima panggilan dari isteri saya berkenaan perkhidmatan menyedut kumbahan di rumah saya. Oleh kerana mungkin isteri saya kurang biasa dengan prosesnya, jadi berlaku sedikit salah faham berkenaan bayaran bagi perkhidmatan itu. Kata orang syarikat itu, selain tangki septik, ada lagi tangki-tangki kecil berdekatan dengan tandas yang perlu disedut bagi memastikan ia tidak tersumbat lagi.

Tambah dia lagi, upah bagi sedutan dari semua tangki ialah RM144 bagi setiap lubang. Manakala oleh kerana ada enam lubang keseluruhan, maka ia menjadi hampir RM900 bagi semua. Tetapi, dia boleh membantu dengan menyedut semua lubang hanya dengan bayaran RM300, tidak termasuk tangki septik itu. Jadi jumlahnya ialah RM450 sahaja. Separuh daripada keseluruhan bayaran.

Isteri saya kebetulannya ada kerja dan mahu bergerak keluar ke rumah ibunya. Dia juga tiada duit lebih di tangan hanya cukup untuk RM144. Pekerja itu memberikan jaminan yang dia akan membereskan semua kerja-kerja itu dan bayaran akan diambil selepas isteri saya pulang nanti. Lalu diberikan resit rasmi syarikat RM144 untuk bayaran bagi tangki septik itu. Isteri saya kemudiannya menghubungi saya memberitahu hal itu ketika berada di rumah ibunya.

Saya menghalang dia daripada membayar wang yang selebihnya. Sambil bertanya, tiada apakah yang dia perasan berkenaan bayaran murah itu dan juga kenapa meninggalkan mereka berkerja tanpa dia melihat sendiri benar atau tidak saluran itu tersumbat seperti yang didakwa mereka. Golongan ini memang sentiasa mencari wanita untuk membuat kekeliruan dan kemudiannya menipu. Berlagak baik, konon cakna, mahu membantu sesama Melayu-Islam.

Saya kemudiannya mengesahkan hal ini menerusi rakan saya yang mahir dalam kerja-kerja kumbahan ini. Dia hanya ketawa dan bertanya mengapa sampai lima lubang sedangkan sepatutnya tangki utama sahaja disedut. Dia kemudiannya menerangkan dengan panjang sistem dan prosedur yang sepatutnya dibuat. Dan jelas pekerja itu menipu. Dan alhamdulillah ada juga baiknya isteri saya tidak cukup wang dan masih belum membayarnya.

Maka pada malam itu, mereka menuntut bayaran lebih. Saya hanya menyuruh isteri saya meminta mereka menyediakan bil rasmi dari syarikat mereka untuk RM300 baki itu, dan kami akan membayarnya. Kata mereka, untuk RM300 itu bil tiada. Dan akan menjadi masalah jika isteri saya ke pejabat mereka untuk menuntut bil. Dan banyak lagi cerita, berbelit-belit rekaan mereka. Saya hanya menyuruh isteri saya meminta bil sahaja tanpa membayarnya atau mempercayai cerita mereka.

Dan semalam mereka menghubungi isteri saya, memaklumkan mereka ‘menghalalkan’ duit kerja mereka yang masih belum dibayar itu kerana mungkin akan timbul masalah lain jika mahu meminta bil rasmi syarikat bagi RM300 itu. Sandiwara ‘menghalalkan’ ini bertujuan untuk mensyahdukan perasaan orang agar kelihatan mereka menjadi mangsa keadaan. Mungkin kita akan terifikir, duit itu untuk belanja keluarga mereka. Jahat sungguh kita, tak bayar duit mereka.

Saya maklumkan kepada isteri saya modus operandi mereka dan di masa lain, jangan bersubahat dengan kerja haram ini. Jangan terliur dengan tawaran murah. Setiap hal yang pelik, tanpa kenal, tiba-tiba mahu membantu dengan bersungguh-sungguh. Juga kisah-kisah mahu memberikan kekayaan kepada kita yang bukan waris mereka, konon mahu berkongsi kekayaan, itu semua cerita dongeng. Bayangkan kalau mereka berjumpa emas di belakang rumah mereka. Jangan kata kita, adik-beradik mereka pun mereka tak kongsi.

Isu ini sama seperti meminta bil kosong dari peniaga. Kadang-kadang, mereka memberikan sedikit saguhati kepada pekedai kerana kerjasama mereka memberikan bil kosong atau juga mengubah jumlah dalam bil, bagi mereka membuat tuntutan kepada majikan mereka. Dapatlah sedikit ‘duit saku’. Alah bukan untuk orang lain. Untuk makan minum anak isteri, pelajaran mereka. Bukan buat benda yang ‘haram’ berjudi ke, apa ke. Jelas sekali itulah bil untuk mereka ke neraka.

Kegilaan manusia mengejar kekayaan, pangkat dan harta dunia, akan menjerumuskan mereka ke lembah dosa dan hina. Lebih-lebih lagi sudah banyak kali ditipu, masih juga mempercayai penipu yang sama untuk memberi harapan. Tetapi itulah manusia, sikap tamak halobalah yang menjadi lubang mereka ditipu. Alah, macam gila nak jadi PM itu, kan mangsa yang sama, penipupun orang yang sama dah berpuluh tahun, mana ada serik…kan?

MOHD NASIR ABDULLAH
18 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 18/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -