Inisiatif kerajaan bantu atasi pengangguran

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara sedang melalui fasa pemulihan dalam semua aspek berikutan wabak pandemik Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan khasnya ekonomi.

Namun begitu, berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan kadar pengangguran melonjak kepada 5.0 peratus yang mana meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778.8 ribu orang.

Ia berikutan penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa PKP yang dilanjutkan hingga April 2020 telah memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja merasakan sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

- Advertisement -

Menurut, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, jumlah pengangguran yang direkodkan itu adalah yang paling tinggi sejak 34 tahun lalu.

“Kadar pengangguran tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia adalah pada kadar 7.4 peratus pada tahun 1986.

“Namun, harus diberikan perhatian bahawa kadar penggangguran 5.0 peratus ini melangkaui kadar pengangguran rakyat Malaysia ketika krisis ekonomi Asia pada tahun 1998-1999 (3.9 peratus) dan kelembapan ekonomi dunia sekitar tahun 2007-2009 (4.1 peratus),” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Jelasnya, antara sektor yang paling terjejas adalah di sektor Pembuatan dan Perkhidmatan iaitu penginapan dan makanan serta minuman; kesenian, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon.

Bagaimanapun katanya, isu pengangguran makin parah apabila segelintir majikan bertindak memberhentikan pekerja mereka dengan alasan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan (business survival).

“Walhal kerajaan telah membantu memberikan insentif kepada majikan untuk mengekalkan tenaga kerja.

“Berdasarkan kajian DPIM, syarikat-syarikat besar dalam sektor penerbangan, industri minyak dan gas serta industri pelancongan bertindak memberhentikan pekerja. Ini adalah kehilangan besar pekerja yang berpengalaman (experienced staff) di dalam industri terbabit,” ujarnya.

Berkata Shahir lagi, anak muda perlu proaktif dan kreatif dengan memanfaatkan inisiatif PENJANA yang memberi ruang kepada golongan belia untuk meningkatkan lagi kemahiran dan kemampuan diri supaya dapat memenuhi keperluan pasaran kerja.

Tambahnya, inisiatif ini merangkumi program latihan dan penempatan serta pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi terpilih.

“Diharapkan inisiatif ini akan memberi manfaat kepada sekitar 200,000 orang belia. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berharap agar belia terus proaktif dan bersedia untuk menghadapi cabaran baru agar tidak ketinggalan pada waktu krisis seperti ini,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, dasar kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing di negara ini adalah satu daripada kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pengangguran.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah telah memulakan inisiatif mengambil golongan gelandangan untuk bekerja dan mengurangkan penggunaan pekerja asing di pasar-pasar di Wilayah.

Mengulas lanjut, Shahir berkata rakyat dan anak muda tidak boleh memilih pekerjaan pada waktu krisis sebegini kerana kelangsungan hidup adalah perkara pokok yang perlu diberi perhatian.

“Anak muda di negara kita diyakini sebagai golongan yang kreatif. Kini ramai juga yang mengusahakan perniagaan atas talian dan ada juga yang memilih untuk menjadi pemandu e-hailing ataupun penghantar barang. Sama-sama kita berdoa agar negara kita keluar daripada krisis ekonomi,” katanya.- HARAKAHDAILY 18/6/2020

- Advertisement -